Lebih 6,500 individu dapat kerja melalui Karnival Kerjaya PERKESO

Veerapan (kanan) berkesempatan melawat sekitar karnival kerjaya pada Ahad.
Veerapan (kanan) berkesempatan melawat sekitar karnival kerjaya pada Ahad.
A
A
A

NILAI - Kerajaan Negeri Sembilan berjaya menyediakan pekerjaan kepada lebih 6,500 orang menerusi penganjuran karnival kerjaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 15 Oktober lalu.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, angka tersebut bukan kecil dan ia merupakan pencapaian yang amat membanggakan dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan kebolehpasaran rakyat di negeri ini.

"Masih banyak cabaran yang perlu diatasi termasuk meningkatkan kualiti latihan dan memastikan kemahiran yang diberikan selaras dengan keperluan industri.

"Justeru, saya menggesa kolaborasi strategik diteruskan antara kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta untuk memperluas peluang pekerjaan dan menyediakan lebih banyak latihan yang relevan," katanya dalam kenyataan sempena Karnival Kerjaya CareerPlus MYFutureJobs Negeri Sembilan 2024 di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai pada Ahad.

Penganjuran karnival kerjaya pada kali ini melibatkan sebanyak 36 majikan yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan.

Sehubungan itu Veerapan berkata, kerajaan negeri akan terus melaksanakan program kebolehpasaran dan latihan kemahiran termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sesuai dengan keperluan industri semasa serta menambah baik kemudahan dan alat bantuan latihan di institut latihan bawah agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, bagi meningkatkan kebolehpekerjaan rakyat Negeri Sembilan PERKESO juga menyediakan perkhidmatan temuduga secara 'walk in' di Pejabat PERKESO Negeri, Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar Negeri Sembilan dan Pusat Komuniti Desa di semua daerah.

"Kami mengalu-alukan para majikan yang mempunyai kekosongan jawatan untuk hadir di Pejabat PERKESO Negeri Sembilan bagi menggunakan fasiliti yang disediakan oleh PERKESO untuk tujuan temu duga pencari kerja,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!