Masalah akhlak aduan tertinggi isu rumahtangga - Jakim
PORT DICKSON - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merekodkan 378,815 kes aduan kekeluargaan sejak 2021 hingga tahun lalu.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, data dalam Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) itu menunjukkan isu dan masalah akhlak atau sosial merupakan aduan tertinggi iaitu sebanyak 167,619 kes.
"Jumlah tersebut tinggi berbanding isu-isu lain seperti tidak bertanggungjawab, masalah komunikasi, kurang penghayatan agama, campur tangan pihak ketiga, masalah kesihatan, masalah seksual, masalah kewangan, masalah kerjaya dan perbezaan latar belakang.
"Aduan yang kita terima ini melalui banyak saluran contohnya KSK Care, talian yang boleh membantu pasangan ataupun umat Islam yang menghadapi masalah sama ada yang baru hendak bina keluarga ataupun sudah bina keluarga, kita ada kaunselor yang bertauliah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Kursus Pascaperkahwinan Islam peringkat Jakim 2024 "Fasa Semarak Kasih" di sini pada Ahad.
Justeru katanya, Jakim mengambil pendekatan melaksanakan kursus pascaperkahwinan sebagai platform bagi membantu pasangan suami isteri menambah ilmu berkaitan rumahtangga dan kekeluargaan supaya lebih harmoni serta bahagia.
"Kursus pada kali ini melibatkan 20 pasangan suami isteri yang terdiri daripada kakitangan Jakim bersama pasangan masing-masing membabitkan tempoh pernikahan 11 hingga 20 tahun," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jakim komited menangani masalah ajaran sesat dalam negara termasuk melakukan penguatkuasaan, dakwah dan menyebarkan maklumat sebenar berkaitan penyelewengan ajaran daripada akidah dari masa ke masa.
“Sekiranya mendapat maklumat berkaitan ajaran sesat, tindakan segera terus diambil oleh pihak berkuasa agama negeri setelah mendapat keputusan daripada Jawatankuasa Fatwa negeri dan pandangan daripada jawatankuasa muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
"Bab hukuman (lebih berat) itu banyak dibincangkan dan masih lagi dalam peringkat jawatankuasa (berkaitan) untuk tingkatkan lagi bagaimana tindakan dan juga hukuman yang sepatutnya serta sewajarnya bagi mereka yang mengembangkan ajaran sesat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!