Pemuda UMNO gesa tubuh RCI siasat isu FashionValet, Nafas
SHAH ALAM – Pemuda UMNO menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) dan kemelut Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, siasatan yang telus perlu dilakukan dan dibentangkan kepada awam.
“Untung rugi syarikat adalah perkara biasa tetapi jika dana itu datangnya dari dana awam maka satu siasatan yang telus perlu dilakukan dan dibentangkan kepada awam supaya ia dapat menjadi pengajaran pada masa akan datang.
“Maka kami cadangkan agar RCI dapat ditubuhkan untuk menyiasat dua perkara yang menjadi polemik negara ketika ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menghalang atau masuk campur berhubung siasatan terhadap Khazanah dan Nafas.
Anwar pada Sabtu dilaporkan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana salah laku yang sudah dibuktikan ke muka pengadilan.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.
SPRM terdahulu juga mendedahkan kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan yang dianggar bernilai RM1.8 bilion.
Justeru, Muhamad Akmal turut menyatakan penghargaan dengan berterima kasih atas pendirian tegas Perdana Menteri berhubung dua isu terbabit.
“Terima kasih Perdana Menteri atas pendirian yang tegas ini. Sama ada FashionValet ataupun Nafas jika ada salah laku yang wujud maka jangan biarkan waima seorang pun terlepas daripada kartel-kartel yang menelan duit rakyat ini!” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!