Koronavirus: Rakyat Kelantan jangan panik, utama langkah pencegahan

Dr Mohd Azman (dua dari kanan) diperhatikan Laili (tengah) memakaikan topeng muka dengan betul kepada salah seorang penumpang Ekspres Perdana.
Dr Mohd Azman (dua dari kanan) diperhatikan Laili (tengah) memakaikan topeng muka dengan betul kepada salah seorang penumpang Ekspres Perdana.
A
A
A

KOTA BHARU - Masyarakat di negeri ini dinasihatkan untuk tidak mudah panik dan sebaiknya mengutamakan langkah pencegahan bagi mengelak dijangkiti koronavirus.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Mohd Azman Yacob berkata, selain pemakaian topeng muka, orang ramai diingatkan menjaga kebersihan dengan mencuci tangan serta mengelak mengambil makanan mentah.

Menurutnya, langkah memakai topeng muka ketika berada di tempat tumpuan ramai amatlah digalakkan kerana bukan sahaja menghindari dijangkiti koronavirus, tetapi influenza serta penyakit lain.

“Setakat ini saya dimaklumkan saringan di pintu masuk utama di negeri telah dipertingkatkan bagi mengesan mereka yang mengalami simptom demam dan berkaitan.

“Apa yang penting orang ramai jangan panik dan begitu juga dengan pemberian topeng muka secara percuma hari ini oleh Kumpulan Perdana adalah sebagai langkah pencegahan,” katanya kepada media hari ini.

Laili memakaikan topeng muka kepada salah seorang pemandu bas, Rosli Mamat yang akan memulakan perjalanan membawa penumpang ke Kajang.
Laili memakaikan topeng muka kepada salah seorang pemandu bas, Rosli Mamat yang akan memulakan perjalanan membawa penumpang ke Kajang.

Terdahulu beliau bersama Pengurusan Kumpulan Perdana (Ekspres Perdana dan Lienadia Express) mengagihkan 300 topeng muka kepada penumpang bas tersebut di Lembah Sireh.

Hadir sama, Pengarah Urusannya, Laili Ismail, Pengarah Pentadbiran dan Kewangan Ekspress Perdana, Tengku Noor Hanam Tuan Mahmud dan Ketua Pengarah Eksekutif Ekspress Perdana, Wan Mod Fais Wan Hamat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai inisiatif dilakukan Kumpulan Perdana itu, Dr Mohd Azman memuji usaha dilakukan syarikat tersebut dalam memberi kesedaran kepada penumpang-penumpangnya.

“Bagus usaha yang dibuat ini. Mungkin dalam bas ada yang mengalami selesema dan mereka wajib menggunakan topeng bagi mengelak sebarang jangkitan kuman tidak semestinya koronavirus,” katanya.

Sementara itu Laili berkata, sebagai syarikat pengangkutan, beliau perlu memainkan peranan terutama membabitkan isu keselamatan umum.

“Pemberian topeng muka adalah untuk menjaga kesihatan pekerja seperti pemandu bas yang berisiko dijangkiti berikutan terdedah dengan orang ramai ketika bertugas.

“Selain penumpang, kami juga sentiasa mengingatkan kakitangan agar sentiasa menjaga kebersihan di samping mendapatkan rawatan jika mengalami sebarang simptom demam, batuk, selesema dan kesukaran bernafas,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!