Isu kartel Nafas: KPKM beri kerjasama penuh kepada SPRM

MOHAMAD SABU
MOHAMAD SABU
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melengkapkan siasatan ke atas Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau mengalu-alukan proses siasatan yang kini dijalankan terhadap pertubuhan tersebut.

“Bang Mat mengalu-alukan siasatan oleh SPRM yang kini dijalankan ke atas Nafas dan memberi jaminan KPKM akan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak badan berkuasa tersebut untuk melengkapkan siasatan mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

SPRM pada Selasa memulakan siasatan berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.

Difahamkan beberapa siri pembongkaran telah dilakukan suruhanjaya berkenaan di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu menegaskan tidak akan menghalang dan masuk campur dalam siasatan terhadap Nafas serta Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) oleh pihak berkuasa termasuk SPRM.

Beliau berkata, siasatan perlu dilakukan dengan adil tanpa mengira pangkat dan jawatan ataupun sama ada melibatkan syarikat kerajaan mahupun swasta.

Sehari sebelum itu, media melaporkan Perlembagaan Nafas digantung berkuat kuasa pada Jumaat bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin berkata, selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang, beliau mengeluarkan arahan tersebut di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109), susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsi Nafas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!