Cubaan tarik kabel guna kereta gagal
KAJANG - Cubaan tiga individu menarik kabel menggunakan Proton X70 gagal apabila tindakan itu disedari pengawal keselamatan bertugas dalam kejadian di sebuah pasar raya di Bangi pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan berkaitan kejadian diterima daripada seorang individu pada jam 11.53 pagi.
Beliau berkata, pengadu menyatakan telah menerima panggilan kira-kira jam 8.15 pagi daripada pekerja keselamatan warga Nepal memaklumkan berkaitan kejadian.
"Siasatan awal mendapati sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 didapati cuba menarik kabel dari kawasan stor penyimpanan barang di pasar raya berkenaan namun gagal.
"Semakan mendapati nombor pendaftaran hadapan dan belakang kenderaan SUV berwarna kelabu itu berlainan serta dipercayai palsu," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati terdapat tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah itu.
"Kesemua suspek bertopi dan memakai penutup muka itu cuba menarik wayar kabel yang panjangnya hampir 100 meter dari aras B1 dalam kawasan pasar raya itu.
"Bagaimanapun, tindakan itu gagal apabila disedari pengawal keselamatan bertugas," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 431A/511 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut boleh berhubung terus dengan Balai Polis yang berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Sarjan Fadeli Safii di talian 012-5373134 bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!