Pelantikan Azalina bukti kepercayaan dunia kepada Malaysia

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Nor Halmey
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Nor Halmey
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Presiden Assembly of Parties (AoP) Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) menunjukkan Malaysia mula mendapat kepercayaan dunia.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, pelantikan berkenaan menjadi sejarah terbesar dan bukti usaha gigih kerajaan yang tidak henti dalam membanteras isu rasuah.

“Tidak mudah untuk dipilih menjadi presiden melainkan masyarakat dunia melihat peranan dan strategi Malaysia memerangi rasuah hebat serta berjaya menyelamatkan wang negara daripada penjenayah terkutuk itu.

“Mungkin ramai menganggap banyaknya kes rasuah dan terlihat negara seolah-olah teruk tetapi inilah keberhasilan kerajaan yang cuba membersihkan jenayah itu sehingga ke akar umbi.

“Tidak semestinya negara yang kurang kes itu bersih kerana mungkin penguatkuasaan mereka longgar tidak seperti di negara kita,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelantikan Azalina sebagai Presiden AoP IACA yang merupakan salah-satu peluang kepada Malaysia untuk menyumbang secara besar-besaran kepada penggubalan dasar antirasuah di peringkat serantau dan antarabangsa.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pelantikan berprestij itu yang pertama buat negara dilihat sebagai bukti pengaruh dan komitmen Malaysia semakin meningkat dalam memerangi rasuah.

Dalam pada itu, Nor Halmey berpendapat, disebabkan banyak kes rasuah berprofil tinggi terjadi, tidak mustahil sekiranya suatu hari nanti Malaysia dijadikan sebagai sumber rujukan oleh negara luar untuk melaksanakan pencegahan serta tindakan.

Artikel Berkaitan:

“Ini akan dijadikan contoh serta teladan oleh negara lain yang sebenarnya mungkin menghadapi ketirisan kewangan lebih buruk akibat hakisan integriti dan rasuah.

“Pelantikan ini memang tidak boleh membawa kepada bebas rasuah sepenuhnya tetapi ia mampu meniup semangat baharu kepada pejuang integriti untuk lebih agresif membanteras gejala tersebut, kerana kita tahu kini Malaysia sedang diperhatikan dan dijadikan contoh oleh negara luar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menjangkakan, Malaysia akan menjadi negara terawal bebas rasuah dalam membanterasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!