10 individu jadi mangsa skim pelaburan saham, rugi RM3 juta

Joseph (duduk tengah) ketika sidang akhbar di Puchong pada Ahad.
Joseph (duduk tengah) ketika sidang akhbar di Puchong pada Ahad.
A
A
A

PUCHONG - Akibat tamak dan percaya akan memperolehi pulangan berlipat kali ganda, 10 individu berputih mata apabila mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM3 juta akibat terpedaya dengan tawaran pelaburan saham dalam talian.

Kesemua mangsa berusia antara antara 40 tahun hingga 60 tahun itu diperdaya menerusi iklan di Facebook pada Julai lalu.

Seorang mangsa, Ken Wong (bukan nama sebenar) berkata, dia menekan pautan di laman sosial berkenaan untuk mengetahui maklumat lanjut.

"Saya kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan yang mana diberi penerangan mengenai cara untuk melabur.

"Saya hanya perlu mengeluarkan modal sahaja manakala urusan pelaburan akan dilakukan serta diuruskan sepenuhnya oleh pihak syarikat.

"Kami dijanjikan pulangan antara enam peratus hingga 10 peratus daripada jumlah pelaburan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

Joseph (duduk dua dari kanan) bersama antara mangsa yang terpedaya dengan skim pelaburan saham dalam talian tidak wujud.
Joseph (duduk dua dari kanan) bersama antara mangsa yang terpedaya dengan skim pelaburan saham dalam talian tidak wujud.

Menurut lelaki berusia 40 tahun itu, dia mengikut semua arahan suspek dan memindahkan wang secara dalam talian ke akaun bank syarikat berpangkalan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pegawai kewangan itu menjelaskan, dia menyedari ditipu selepas gagal membuat pengeluaran wang keuntungan selain diminta membuat bayaran lain melibatkan RM1.7 juta sebagai langganan Infrastructure Processing Unit (IPU).

"Saya telah membuat laporan kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan polis, namun sehingga sekarang tiada siapa yang boleh membantu.

"Oleh itu saya mendesak pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara terperinci, kerana laporan sudah dibuat, namun pegawai penyiasat kata kes tiada tindakan lanjut (NFA)," ujarnya.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), Joseph Prakash mendesak pihak berkuasa menyiasat aduan mangsa-mangsa yang lain.

“Mangsa sudah buat laporan ke SKMM dan Bank Negara tetapi masih tidak ada tindakan, apa lagi yang harus mereka lakukan kerana wang telah lesap.

“Kita minta scammer ini disekat daripada terus berada di Facebook dan semua platform media sosial," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!