MotoGP perlumbaan Barcelona agak mencabar - Bagnaia
PENYANDANG juara dunia MotoGP, Francesco Bagnaia menyuarakan rasa berhati-hati mengenai peluangnya untuk memenangi kedua-dua perlumbaan pecut dan perlumbaan utama dalam perlumbaan akhir musim yang dijangka berlangsung di Barcelona.
Pelumba kelahiran Itali itu atau lebih dikenali Pecco mengakui cabaran Litar de Catalunya selepas melalui pengalaman terjatuh di litar berkenaan pada Jun lalu.
"Kami sedar ia agak sukar tetapi di Barcelona, apa saja boleh terjadi. Keadaan juga akan lebih mencabar kerana cuaca sejuk dan selekoh 2 dan 5 adalah sangat mencabar,” katanya pada sidang media selepas perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia 2024 di sini hari ini.
Dengan kemenangan terbaharunya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, Bagnaia masih berpeluang mempertahankan kejuaraan MotoGP Dunia setelah meraih kemenangan ke-10 musim ini.
Kemenangan penting ini telah merapatkan jurang kedudukan dalam carta kejuaraan kepada hanya 24 mata di belakang pendahulu Jorge Martin dari pasukan Prima Pramac Racing.
Bagnaia kini berada di tempat kedua dalam kedudukan Kejuaraan Dunia MotoGP 2024 dengan 461 mata, manakala Martin mendahului dengan 485 mata.
Pelumba Ducati Lenovo berusia 27 tahun itu turut merasakan dirinya tidak terjejas dalam perlumbaan utama di Sepang walaupun terlibat dalam kemalangan dalam perlumbaan pecut semalam.
"Dari segi mental, saya tidak gentar hari ini; saya benar-benar yakin dan tahu saya mampu berjuang untuk menang,” katanya.
Sementara itu, Martin berazam untuk tidak memberi laluan mudah kepada Bagnaia kerana beliau menumpukan untuk memenangi perlumbaan akhir musim dan dinobatkan sebagai juara dunia MotoGP yang baharu.
Pelumba Sepanyol itu, yang memerlukan sekurang-kurangnya 14 mata untuk mengesahkan gelaran juara dunia pertamanya berkata, adalah satu keistimewaan dan sesuatu yang ‘gila’ untuk bersaing sehingga penghujung musim dengan juara dunia dua kali Bagnaia.
Terdahulu, Ketua Pegawai Kesukanan Dorna, Carlos Ezpeleta berkata, mereka kini sedang berbincang dengan kerajaan Catalonia untuk mengadakan perlumbaan terakhir di Barcelona dengan pengesahan dalam tempoh 48 jam akan datang.
Perlumbaan terakhir musim ini, yang sepatutnya berlangsung di Valencia, Sepanyol, pada 15 hingga 17 November ini telah dibatalkan susulan banjir buruk di wilayah berkenaan yang sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 214 nyawa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!