Hanya parkir sementara, tak sangka pula tular - Pemilik dua kereta atas bumbung
JERLUN - Seorang warga emas di Kampung Matang Bonglai Kechil, Ayer Hitam di sini, yang meletakkan dua buah keretanya di atas bumbung konkrit rumahnya tidak menyangka tindakannya itu menjadi tular di media sosial.
Awang Ali Abdullah, 64, berkata, dia mengangkut kereta jenis Proton Saga dan Perodua Kancil sejak Khamis lalu, menggunakan kren untuk diletakkan sementara waktu atas bumbung konkrit rumahnya kerana ketiadaan ruang parkir.
Menurutnya, dia membuat keputusan itu disebabkan tidak ada ruang dan ingin memberi laluan kepada pemasangan khemah kenduri cucu saudaranya, Shahira Zamzuri, 27, pada Sabtu.
"Saya menggunakan kren bagi mengangkat kereta Perodua Kancil dan Proton Saga itu dengan bantuan anak-anak saudara lain dan berjaya diangkat naik di atas bumbung dalam tempoh 30 minit.
"Tidak sangka ada yang merakam video dan ia tular sehingga ramai orang datang untuk bergambar," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Awang Ali berkata, dia bersyukur kenduri berkenaan meriah dengan kehadiran lebih 1,500 tetamu malah ada tidak melepaskan peluang merakamkan gambar kenangan berlatarkan dua kereta atas bumbung itu.
Tambahnya, dua kereta itu yang digunakan sejak 10 tahun lepas masih dalam keadaan baik, namun dia tidak akan menurunkannya dari atas bumbung untuk sementara waktu.
"Saya akan biarkan dahulu untuk tempoh seminggu atau dua minggu lagi untuk memberi peluang penduduk setempat merakam gambar," katanya.
Sementara itu, Shahira berkata, dia terlalu sibuk dan hanya mengetahui mengenai tindakan datuk saudaranya meletakkan Proton Saga dan Perodua Kancil itu atas bumbung rumah pada Jumaat.
Katanya, ramai tetamu memaklumkan kawasan rumahnya sudah tular dengan kereta diparkir atas bumbung, namun dia berbangga memandangkan ia mendapat reaksi positif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!