Polis rakam percakapan lelaki dipukul selepas terlibat nahas 7 kenderaan

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

IPOH - Lelaki yang dipukul oleh sekumpulan individu selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di kilometer 110 Jalan Ipoh Butterworth dalam video yang tular, telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, siasatan mendapati mangsa yang berusia 52 tahun itu adalah salah seorang yang terlibat dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam tadi.

"Mangsa tersebut telah dipanggil untuk dirakam percakapan berhubung kejadian itu dan hasil siasatan polis mendapati mangsa adalah pemandu kereta yang menyebabkan kemalangan.

"Oleh itu, mangsa dipercayai dipukul oleh sekumpulan individu itu kerana enggan membuat laporan polis berhubung insiden kemalangan tersebut, bagaimanapun mangsa telah membuat laporan berkaitan kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juna berkata, kemalangan tersebut berlaku apabila lima buah kereta dan sebuah motojeep serta sebuah motosikal datang dari arah Parit Buntar menghala ke Bagan Serai.

"Apabila tiba di tempat kejadian, empat buah kereta, satu motojeep dan satu buah motosikal berhenti di lampu isyarat berwarna merah, selepas itu datang sebuah kereta yang berada lorong kanan telah melanggar bahagian belakang kereta jenis Proton Wira.

"Pelanggaran itu menyebabkan kereta tersebut melanggar kenderaan yang berada di hadapannya di lorong kanan dan lorong tengah.

"Tiada mangsa yang mengalami kecederaan dan kesemua pemilik kenderaan telah membuat laporan polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!