OSK Property lancar perumahan fasa baharu, NARA di Shorea Park
OSK Property melancarkan perumahan fasa baharu dalam pelan utama Shorea Park melalui apartment perkhidmatan yang dikenali sebagai NARA dengan tawaran harga bermula daripada RM250,000.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ong Ghee Bin berkata, NARA di Shorea Park itu menawarkan gabungan menarik antara kehidupan bandar dan ketenangan semula jadi serta perkhidmatan direka untuk memenuhi keperluan pembeli rumah kali pertama, keluarga baharu dan individu yang ingin menaik taraf hartanah.
"NARA di Shorea Park merupakan apartment perkhidmatan pegangan bebas yang merangkumi 1.57827 hektar, menawarkan 709 unit kediaman dengan pelbagai reka bentuk, daripada '1 1' hingga empat bilik tidur dan dua hingga tiga bilik mandi.
"Penduduk dapat menikmati keselesaan ruang hidup pelbagai fungsi bermula 560 kaki persegi hingga 1,055 kaki persegi dengan penyimpanan tambahan tersedia untuk unit tertentu dan dilengkapi dengan sehingga tiga ruang parkir," katanya ketika Majlis Pelancaran NARA di Shorea Park pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, fasa baharu itu diilhamkan daripada keindahan flora agar dapat mewujudkan tempat perlindungan di mana penduduk boleh menikmati ketenangan dan kemudahan moden.
Ujarnya, pelbagai fasiliti lain disediakan bagi menyokong gaya hidup sihat seperti kolam renang 50 meter, spa hidroterapi, trek jogging, gimnasium, gelanggang badminton, bola keranjang dan kawasan rekreasi untuk kanak-kanak serta keluarga.
"Kami teruja untuk melancarkan NARA di Shorea Park bagi mewakili langkah seterusnya dalam perjalanan kami untuk mewujudkan komuniti yang dinamik dan berkembang di Puchong.
"Kejayaan berterusan kami dengan fasa awal seperti MIRA dan ANYA, membuktikan bahawa permintaan untuk rumah yang direka dengan teliti dan mampu milik di kawasan berkembang pesat ini sangat diperlukan.
"Gabungan ini diharapkan dapat memenuhi keperluan mereka yang mencari gaya hidup yang seimbang, di mana mereka dapat menikmati kehidupan selesa tanpa mengorbankan akses kepada kemudahan dan perkhidmatan bandar," katanya.
Tambah beliau, NARA di Shorea Park juga telah dianugerahkan penarafan Gangsa di bawah Sijil GreenRE seiring dengan komitmennya terhadap amalan pembinaan yang lestari dan mesra alam.
Katanya, fasa baru ini merupakan susulan daripada kejayaan fasa awal dalam pembangunan Shorea Park iaitu MIRA dan ANYA.
"Sebelum ini fasa pertama iaitu MIRA di Shorea Park, telah terjual sepenuhnya sejak pelancarannya pada September 2021 walaupun menghadapi cabaran disebabkan oleh pandemik COVID-19.
"Ia disiapkan pada Julai 2024 iaitu 13 bulan lebih awal daripada jadual asal dan MIRA di Shorea Park juga mencapai skor QLASSIC luar biasa sebanyak 82 peratus sekali gus mencerminkan kualiti dan kecemerlangan OSK Property," ujar beliau.
Pada masa sama, Ghee Bin memaklumkan, bagi fasa kedua iaitu ANYA di Shorea Park yang dilancarkan pada 2022, mencatatkan kadar jualan mencecah 90 peratus.
Menurutnya, kejayaan ini menunjukkan daya tarikan pembangunan ANYA kepada pembeli rumah yang mencari gaya hidup yang moden dan mudah diakses di Puchong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!