T15: Setujukah wakil rakyat jika elaun petrol ditarik?
SANA sini masih kecoh tentang golongan 'mahakaya' T15 yang tak akan dapat subsidi petrol pertengahan tahun depan.
Ada juga yang marah kata kerajaan seolah-olah anti orang kaya menerusi dasar rasionalisasi subsidi sehingga Perdana Menteri terpaksa menafikan dirinya Robin Hood.
Dalam cerita legenda di England, Robin Hood mencuri daripada orang kaya lalu diberikan kepada orang miskin. Merak Jalanan percaya dalam hal petrol ini, ia bukan soal mencuri, cuma tarik subsidi daripada orang mahakaya.
Yang jadi persoalan ialah siapakah T15 itu? Ikut data DOSM, T20 dikira dengan pendapatan bulanan isi rumah RM11,820 ke atas atau RM141,000 setahun. Kalau data itu hendak dipakai, golongan terlebih layak digelar mahakaya adalah ahli Parlimen sendiri.
Pendapatan tetap mereka saja lebih RM27,000 sebulan. Itu belum masuk elaun hadir Sidang Dewan RM400 sehari. Parlimen bersidang 70 hari dalam setahun.
Elaun tol dan bahan api kenderaan ahli Parlimen juga lebih tinggi daripada gaji minimum RM1,700 yang akan diperkenalkan tahun depan.
Elaun petrol wakil rakyat ialah RM1,500 sebulan manakala elaun tol RM300. Tetapi setujukah mereka jika elaun ini ditarik demi membantu kerajaan berjimat?
Merak Jalanan tahu bukan semua wakil rakyat hidup mewah. Tak lama dulu ada wakil rakyat pembangkang kata mereka bakal jadi B40 sebab tak dapat peruntukan sebagai ahli Parlimen. Mereka khabarnya terpaksa guna gaji dan elaun sendiri untuk bantu rakyat.
Merak Jalan harap kerajaan dengarlah pandangan daripada pelbagai pihak apabila hendak tetapkan had pendapatan T15 nanti. Tidak kiralah RM15,000 atau RM20,000, yang penting ia adil dan menguntungkan pihak terbanyak.
Janganlah pula jadi seperti subsidi diesel yang kononnya ditarik daripada golongan mahakaya tetapi M40 juga terjejas kerana had pendapatan ditetapkan tidak lebih RM100,000 setahun atau RM8,300 sebulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!