Rakyat Malaysia sokong Harris atau Trump

Kamala Harris, Donald Trump
Kamala Harris, Donald Trump
A
A
A

KURANG 24 jam lagi, rakyat Amerika Syarikat (AS) akan memilih Presiden ke-60.

Persaingan sengit tentunya antara calon Demokrat, Kamala Harris, 60, dan calon Republikan, Donald Trump, 78.

Statusnya sebagai kuasa besar dunia menyebabkan Pilihan Raya Presiden AS diikuti dengan penuh minat oleh negara-negara demokrasi lain termasuk Malaysia.

Dalam tinjauan global oleh Gallup International melibatkan lebih 40,000 responden bulan lalu menunjukkan majoriti masyarakat antarabangsa percaya kestabilan dunia akan menurun di bawah Trump.

Ketika ditanya siapa yang mereka akan pilih, 56 peratus penduduk Asia Tenggara menjawab Kamala, dan hanya 34 peratus menyokong Trump.

OCBC Global Market Research baru-baru ini pula mengatakan Malaysia akan menjadi salah satu ekonomi Asia yang paling terdedah kerana kemungkinan kenaikan tarif ke atas produk import China ke AS sehingga 60 peratus jika Trump dipilih semula sebagai Presiden.

China adalah rakan dagang utama Malaysia diikuti AS.

Trump sememangnya terkenal dengan sikap kasar, lucah, rasis dan bercakap tanpa sempadan.

Artikel Berkaitan:

Namun bagi sesetengah orang, memilih Demokrat atau Republikan adalah sama sahaja setidak-tidaknya dalam konteks Palestin. Ia ibarat memilih antara ‘yang jahat’ dan ‘yang kurang jahat’ walaupun analogi itu tidak semestinya tepat.

Bezanya, Trump menyokong Zionis Israel tanpa berselindung. Contohnya, pada Disember 2017, Presiden Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke kota suci itu.

Pada 25 Oktober 2024 pula, Trump menyuarakan sokongan terhadap serangan Israel ke atas Hamas dan Hizbullah menerusi panggilan telefon dengan Netanyahu.

“Lakukan apa yang perlu,” kata Trump kepada Netanyahu seperti dilaporkan Washington Post.

Ini berbeza dengan Presiden Joe Biden daripada Demokrat yang berselindung di sebalik gencatan senjata dan jalan damai.

Hakikatnya pada Ogos lalu, AS di bawah Biden telah meluluskan penjualan senjata bernilai AS$20 bilion kepada Israel termasuk 50 jet pejuang F-15, peluru berpandu dan kenderaan taktikal ketika lebih 40,000 penduduk Gaza telah dibunuh oleh Israel menggunakan senjata yang dibekalkan AS sebelum itu.

Justeru sama ada Kamala atau Trump terpilih, kita berharap ekonomi dan ringgit Malaysia tidak terjejas di samping mengharapkan kesan minimum ke atas umat Islam di seluruh dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!