FAM perlu agresif buat penilaian sendiri

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu lebih proaktif untuk melakukan audit forensik bagi mengenal pasti kegagalan skuad muda negara di pentas antarabangsa.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu lebih proaktif untuk melakukan audit forensik bagi mengenal pasti kegagalan skuad muda negara di pentas antarabangsa.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) perlu lebih proaktif untuk melakukan audit forensik bagi mengenal pasti kegagalan skuad muda negara di pentas antarabangsa.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, badan induk bola sepak negara itu tidak perlu menunggu laporan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menilai keberkesanan Program Pembangunan Bolasepak Nasional (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebaliknya bertindak agresif membuat penilaian sendiri.

Beliau berkata, bedah siasat tersebut boleh dilakukan bersama dengan pemilik AMD iaitu Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mencari punca kegagalan pasukan remaja negara di pentas Piala Asia.

“Kalau boleh libatkan sekali kelab-kelab seperti JDT (Johor Darul Ta'zim) kerana mereka juga antara pembekal utama pemain bawah umur kebangsaan pada ketika ini.

“Kita tidak mahu setiap kali skuad Harimau Muda gagal dalam pelbagai misi yang dituding jari adalah kepada AMD. Walhal ini tanggungjawab bersama. Jangan bila menang baru nak ambil kredit, tetapi bila gagal mula salahkan pihak lain.

“Buat 'post mortem' atau audit forensik bagi menilai segala kelemahan. Itu barulah profesional dan bertanggungjawab.

“Kenapa nak tunggu laporan AFC tentang keberkesanan NFDP atau AMD. Itu bukan tangunggjawab mereka. Takkan kita tak boleh uruskan sendiri,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Isu AMD dan NFDP timbul selepas skuad Bawah 17 Tahun (B-17) negara gagal layak ke Piala Asia B-17 2025 baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

FAM sebelum ini mahu menunggu terlebih dahulu hasil kajian AFC berkaitan AMD dan NFDP.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut memaklumkan bahawa pihaknya akan meminta AFC untuk menilai semula keberkesanan NFDP.

Penilaian tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk membangunkan bola sepak negara termasuk penyaluran dana sebanyak RM15 juta buat skuad Harimau Malaya dan program pembangunan.

Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell juga mengakui ketiadaan liga kebangsaan bagi kategori umur B-15, B-16 dan B-17 menjadi punca utama kegagalan pasukan B-16 layak ke Piala Asia B-17 2025.

Namun Pekan menafikan alasan tersebut sambil mempersoalkan pengetahuan O'Donell mengenai banyak kejohanan yang diadakan buat pemain di peringkat umur.

“Kita sudah ada kejohanan Liga FAM-KPM (Kementerian Pendidikan), bola sepak MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia), Liga Supa Rimau dan banyak lagi.

“Saya tidak pasti pengarah teknikal FAM ini mengikuti atau tidak perkara ini atau ia perlu diperbanyakkan lagi. Bila pula mereka nak belajar. Itu juga harus dibincangkan dengan sebaiknya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!