Sheikh Naim Qassem, penyambung perjuangan Hizbullah

Sheikh Naim Qassem
Sheikh Naim Qassem
A
A
A

BEIRUT - "Pejuang Hizbullah akan kekal berada di landasan untuk menghapuskan rejim Zionis seperti yang terkandung dalam agenda pemimpin terdahulu, Sheikh Hassan Nasrallah".

Kenyataan tegas itu dikeluarkan Sheikh Naim Qassem yang dilantik untuk menerajui Hizbullah pada awal minggu lalu.

“Mereka yang menyokong perang ganas Israel di Gaza sebenarnya sudah lupa dengan kejadian pembunuhan penduduk Palestin selama 75 tahun, merampas tanah dan harta benda milik mereka.

“Lebih baik kita teruskan gerakan penentangan daripada tidak berbuat apa-apa dan membiarkan Zionis menyerang.

“Kami sentiasa bersedia untuk menghadapi musuh dengan segala kekuatan dan keazaman. Kami siap siaga berjuang,” katanya menerusi ucapan pertama setelah pelantikannya diumumkan Hizbullah menerusi saluran Telegram pada Selasa lalu.

Teka-teki siapa pengganti Nasrallah yang gugur syahid pada akhir September lalu akhirnya terjawab.

Qassem (kiri) ketika bertemu Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei di Teheran pada akhir Julai lalu.
Qassem (kiri) ketika bertemu Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei di Teheran pada akhir Julai lalu.

Qassem, 71, bukanlah nama baharu kerana beliau sudah terlibat dengan aktivisme politik syiah untuk tempoh yang agak lama dan pernah menjadi Timbalan Setiausaha Agung Hizbullah sejak 1991 di bawah kepimpinan Abbas al-Musawi yang turut gugur syahid di tangan musuh.

Artikel Berkaitan:

Beliau pada mulanya berada dalam senarai sebagai pengganti Musawi yang terkorban pada 1992.

Tetapi, Majlis Syura memilih Nasrallah yang lebih berpengaruh dan digelar sebagai 'genius' Musawi.

Selepas pembunuhan Nasrallah, timbul spekulasi Majlis Syura mungkin akan menunggu sehingga Perang Lubnan berakhir untuk memilih pemimpin baharu dan dua nama yang disenaraikan ialah Qassem dan Hashem Safieddine yang disahkan terkorban pada awal Oktober.

Qassem juga adalah wajah yang sering tampil di khalayak umum.

Beliau mempunyai imej agak berbeza iaitu memakai serban putih tidak seperti Nasrallah yang sinonim dengan serban hitam.

Pemimpin utama Hizbullah kembali menjadi sasaran bunuh Israel setelah ketegangan semakin meningkat antara Tel Aviv-Beirut.

Qassem bagaimanapun menjadi harapan baharu buat gerakan proksi Iran tersebut dan bakal menyambung perjuangan pemimpin terdahulu.

Kempen pengeboman Israel yang diperhebatkan sejak bulan lalu telah mengakibatkan kebinasaan teruk di Beirut.
Kempen pengeboman Israel yang diperhebatkan sejak bulan lalu telah mengakibatkan kebinasaan teruk di Beirut.

Pernah jadi guru

Qassem dilahirkan pada 1953 di Kfar Kila, Nabatieh, sebuah perkampungan di selatan Lubnan yang sering menjadi sasaran bedilan Zionis terutamanya sejak bulan lalu.

Salah seorang mentor beliau ialah tokoh disegani, Ayatollah Mohammad Hussein Fadlallah malah Qassem sendiri mengajar kelas agama selama beberapa dekad di Beirut.

Pada 1970-an, beliau menyertai gerakan pimpinan Imam Musa al-Sadr yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Gerakan Amal di Lubnan.

Qassem meninggalkan Amal dan terlibat dalam usaha menubuhkan Hizbullah pada 1982.

Beliau juga pernah menjadi guru subjek fizik selama enam tahun sebelum bergiat aktif dengan perjuangan Hizbullah.

Peranan sebenar beliau dalam Hizbullah tidak didedahkan kepada umum meskipun beliau dipertanggungjawabkan untuk menyelia rangkaian pendidikan dan mengawasi aktiviti gerakan itu di Parlimen.

Qassem juga memegang peranan penting untuk menjadi 'jurucakap' Hizbullah sejak beberapa tahun lalu dan menganggotai Majlis Syura.

Selain mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang agama, beliau juga berbakat dalam penulisan apabila menerbitkan buku berjudul Hizbullah, the Story from Within pada 2005 berkisarkan kisah penentangan gerakan itu yang turut diterjemahkan kepada beberapa bahasa.

Ulama disegani itu berulang kali mengutuk perang genosid Israel di Gaza dan berikrar mahu meningkatkan sokongan 'barisan hadapan' untuk penduduk Palestin bagi menghadapi kekejaman Zionis yang berterusan membunuh orang awam tidak berdosa termasuk kanak-kanak. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!