Spekulasi bakal terjawab, kepimpinan perlu sedia jawab tohmahan

Tujuh ketua bahagian di Terengganu berjaya mengekalkan jawatan mereka dalam pemilihan Bersatu pada Sabtu. Foto hiasan
Tujuh ketua bahagian di Terengganu berjaya mengekalkan jawatan mereka dalam pemilihan Bersatu pada Sabtu. Foto hiasan
A
A
A

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka akan mengumumkan keputusan penuh pemilihan parti pada Isnin, pukul 2.30 petang.

Sudah pasti tumpuan terarah kepada persaingan enam calon merebut tiga jawatan naib presiden dengan antara yang bersaing termasuk dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin.

Selain itu turut menjadi perhatian kedudukan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sama ada tersenarai dalam 'top 3' atau sebaliknya.

Disebalik pelbagai 'drama' yang berlaku sepanjang proses tersebut, timbul beberapa dakwaan pemilihan kali ini menjadi medan memecahbelahkan parti.

Bermula dengan keputusan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dipilih sebagai Ketua Armada Bersatu, timbul kontroversi menyatakan ada tangan ghaib yang menyusun atur keputusan berkenaan.

Menepis dakwaan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menegaskan, pengumuman bagi pemilihan jawatankuasa Armada dan Wanita dibuat setelah jawatankuasa selesai menyemak pematuhan peraturan pemilihan, tatacara pengundian, penjumlahan undi serta memperhalusi semua bantahan dan aduan diterima.

Ketegasan itu sususlan tuntutan daripada Penolong Setiausaha Armada, Muhammad Faiz Rahmad yang meminta penjelasan JPP sama ada proses pemilihan kali ini dipengaruhi agenda peribadi atau campur tangan individu tertentu.

Tidak berakhir di situ, parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menerima tamparan apabila Ketua Bahagian Tenggara, Hassan Rasid dan ahli jawatankuasa bahagian pada Sabtu mengumumkan keluar dari parti berkuat kuasa serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Media melaporkan, keputusan itu dibuat setelah melalui pertimbangan mendalam dan merujuk kepada beberapa isu yang dianggap kritikal selain tidak lagi yakin dengan kepimpinan tertinggi parti.

Semua spekulasi serta tanda tanya bakal terjawab dan sudah pasti, akan ada 'cakap-cakap belakang' mengenai keputusan itu kelak.

Sama ada timbul percanggahan atau rasa tidak puas hati, barisan pimpinan tertinggi perlu bersedia dengan jawapan supaya tidak berlaku pertelingkahan.

Yang pasti, hala tuju Bersatu dalam arena politik negara selepas ini bakal ditentukan oleh barisan baharu kepimpinan yang dipilih, sama ada ahli suka atau tidak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!