Pemuda hasilkan potret Agong, Raja Permaisuri atas songket
SHAH ALAM - Tiada siapa menyangka dengan hanya berbekalkan minat, seorang pemuda diberikan peluang untuk menghasilkan lukisan potret Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Menurut Muhammad Darwisy Mustafani, potret yang dihasilkan di atas sehelai kain songket itu ditempah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dipersembahkan di Istana Negara sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian (DKPP) Tahun 2024 yang berlangsung pada Rabu.
"Sebenarnya, PDRM hubungi saya di TikTok, sebab sebelum ini ada lukisan yang saya lukis atas songket viral juga.
"Mulanya saya tidak tahu perlu buat lukisan untuk Istana Negara sebab PDRM cuma kata ‘VVVVVVIP’. Saya sudah jangka mungkin perlu buat lukisan untuk orang penting.
"Tetapi tidak tahu pula perlu buat lukisan untuk dijadikan hadiah kepada Agong dan Raja Permaisuri. Bukit Aman hubungi, baru saya tahu," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, menurut pemuda berusia 23 tahun itu, dia mengambil masa lebih kurang tiga minggu untuk menghasilkan karya tersebut.
Tambah anak kelima daripada lapan adik beradik berkenaan, walaupun tidak berpeluang menyertai istiadat rasmi tersebut, dia masih berasa gembira dan berbangga kerana pencapaiannya itu.
"Saya tidak dapat pergi sebab istiadat rasmi yang tertutup untuk PDRM tetapi saya tetap gembira apabila nampak lukisan saya berada di depan Tuanku dalam istana.
"Sebelum ini saya banyak hasilkan karya yang orang lain tidak pernah buat seperti lukis atas kulit kelapa, durian, tembikai, pelitup muka dan banyak lagi tetapi kali ini karya di atas songket yang mendapat perhatian.
"Saya pasang impian suatu hari nanti ada lukisan saya yang dapat diletakkan dalam balai seni negara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!