Masa tepat TMJ pimpin FAM, Harimau Malaya - Safee Sali
BEKAS penyerang berbisa kebangsaan, Safee Sali menyifatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Harimau Malaya sememangnya memerlukan sentuhan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menurutnya, Tunku Ismail merupakan figura yang paling tepat dan berpengetahuan luas selain faham mengenai industri bola sepak negara.
"Sekarang masa yang tepat. Berdasarkan pengalaman dan apa yang sudah dicapai oleh Tuanku, saya rasa figura seorang yang mengetahui dan faham industri bola sepak tempatan yang paling tepat ialah Tunku Ismail.
"Rekod JDT, fasiliti dan cara pengurusan dapat dilihat secara jelas dengan fakta. Tidak pernah ada tunggakan gaji, semangat yang tinggi dan telah membuahkan hasil.
"Bukan setakat peringkat liga tempatan sahaja, di Asia malahan seluruh dunia sudah mengenali JDT," katanya dalam Insta Story akaun Instagramnya.
Sebelum ini, Sukan Sinar melaporkan kenyataan bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan yang menyifatkan sentuhan Tunku Ismail amat penting dalam usaha memperkasakan FAM dan Harimau Malaya.
Ia susulan Tunku Ismail seolah-olah memberikan bayangan akan wujud kerjasama dengan FAM untuk memperkasakan Harimau Malaya.
Malah, Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor turut menyatakan bahawa FAM akan menyertai baginda sekali gus memperlihatkan satu bentuk kerjasama yang berbeza akan berlaku.
Sebelum ini juga, Tunku Ismail pernah memberikan idea agar Harimau Malaya dapat bergerak berasingan dalam perkongsian di laman media sosial baginda pada September lalu yang mendedahkan mengenai struktur baharu organisasi Harimau Malaya.
Untuk rekod, Tunku Ismail pernah menjadi Presiden FAM pada 2017 sebelum baginda meletakkan jawatan setahun selepas itu.
Dalam pada itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar mengakui industri bola sepak negara amat menagih kepakaran dan pengalaman Tunku Ismail.
Beliau yang juga pengendali Terengganu FC II (TFC II) berkata, bola sepak memerlukan sentuhan TMJ dalam semua aspek.
"Ini realitinya. Bola sepak Malaysia memerlukan TMJ dalam semua aspek," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!