Fernandes mohon maaf kepada Ten Hag
[DIKEMAS KINI] KAPTEN Manchester United, Bruno Fernandes berkata, dia telah memohon maaf kepada Erik ten Hag kerana tidak dapat melakukan yang terbaik untuk menghalang pengendali kelahiran Belanda itu kehilangan pekerjaannya.
Ten Hag dipecat baru-baru ini susulan kekalahan 1-2 United di West Ham yang meletakkan mereka di tangga ke-14 dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL).
Keputusan seri 1-1 dengan Chelsea di Old Trafford pada Ahad bermakna mereka telah naik satu anak tangga, tetapi keadaan belum cukup positif apabila Ruben Amorim tiba dari Sporting semasa rehat antarabangsa bulan ini.
Ten Hag menjadikan Fernandes sebagai kaptennya di United dan tetap menurunkan pemain tengah itu walaupun ada kalanya dikritik hebat.
Selepas tidak menjaringkan gol musim ini sehingga dia menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua untuk meletakkan United di depan menentang Chelsea, Fernandes merasakan kesakitan kehilangan Ten Hag lebih daripada pemain lain.
"Ia tidak baik untuk sesiapa di kelab apabila pengendali pasukan dipecat.
"Anda perlu menyalahkan diri sendiri kerana pasukan yang tidak melakukannya dengan baik dan lebih mudah untuk menyingkirkan pengurus daripada 15 pemain.
"Saya bercakap dengannya dan meminta maaf. Kami tidak menjaringkan gol dan saya rasa bertanggungjawab. Saya biasanya menjaringkan banyak gol tetapi saya sentiasa memberikan 100 peratus dan dia sedar mengenai perkara itu," katanya.
Dalam temu bual berasingan dengan BBC Sport, Fernandes berkata, dia telah bercakap dengan rakan-rakan sepanjang minggu dan meramalkan kemungkinan peristiwa pemecatan itu akan berlaku.
"Saya berkata, segala-galanya akan datang kepada kami dan orang akan berkata kami mahu Ten Hag dipecat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!