MCMC serius tangani jenayah atas talian
Peningkatan penggunaan internet dan teknologi digital dalam kehidupan harian pada masa kini, mendedahkan masyarakat kepada risiko keselamatan atas talian yang semakin kritikal.
Ia berikutan semakin banyak jenayah berlaku terutamanya melibatkan pengantunan seksual atau sexual grooming yang menyasarkan kanak-kanak dan jenayah scammer yang memangsakan warga emas.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), terdapat peningkatan kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top.
Bagi tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sejumlah 51,638 kes telah dipanjangkan kepada penyedia platform dalam talian untuk tindakan lanjut.
Jumlah ini adalah tinggi berbanding 42,904 kes kandungan direkodkan sepanjang tahun lalu.
Menyedari perkembangan yang semakin membimbangkan itu, kerajaan menerusi MCMC komited bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan tempatan bagi menambah baik dan memperkukuh langkah-langkah pencegahan serta perlindungan termasuklah usaha tambah baik aspek Licensing dan Online Safety Bill
Kerjasama MCMC dan penyedia perkhidmatan dapat memastikan persekitaran dalam talian yang selamat, seterusnya menjamin keselamatan segenap lapisan pengguna.
Bahkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam kenyataannya pada 30 Oktober lalu menegur pihak Meta Platforms Inc (Meta) atas kegagalan mereka dalam menangani isu pedofilia dan pengantunan kanak-kanak di platform Facebook.
"Meta perlu jauh lebih proaktif dalam membanteras kumpulan-kumpulan di akaun media sosial Meta yang menjurus kepada aktiviti jenayah seksual tersebut,"katanya.
MCMC turut menekankan perlunya penambahbaikan terhadap keselamatan dalam talian khususnya melakukan pengesahan umur minimum 13 tahun untuk mengakses platform media sosial bagi memastikan kanak-kanak tidak terpengaruh dengan kandungan memudaratkan.
Penyedia platform juga diminta menangani kandungan berkaitan 3R secara efektif dengan merujuk garis panduan platform dan undang-undang Malaysia.
Selain itu, TikTok dan Meta digesa untuk membendung kandungan kelakuan tidak sahih tersusun, serta memantau dan mengambil tindakan segera ke atas kandungan memudaratkan seperti scam dan perjudian haram dalam talian.
Tanggungjawab penyedia platform
Mendepani cabaran mendatang, kerajaan juga menggariskan langkah untuk memastikan platform dalam talian selamat untuk semua pengguna.
Ini kerana, penyedia platform juga perlu bertanggungjawab memastikan platform mereka selamat dan tidak menjadi pusat jenayah memandangkan jumlah pengguna atas talian yang semakin meningkat.
Sehubungan itu, menerusi pertemuan bersama Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara, Rafael Frankel dan pasukan Meta baru-baru ini juga, turut dibincangkan kesiapsiagaan semua pihak bagi penguatkuasaan pelesenan platform media sosial serta sistem pemesejan internet berkuat kuasa pada 1 Januari tahun hadapan.
Permintaan Meta untuk melanjutkan tarikh akhir pendaftaran pelesenan media sosial yang telah dijadualkan juga tidak dilayan.
Fahmi menegaskan, kerajaan tidak boleh memberi lebih masa kepada kumpulan `scammer’ dan pedofilia untuk terus bermaharajalela melakukan jenayah di platform-platform media sosial.
Apatah lagi, kerajaan menerima banyak aduan berkenaan kewujudan kumpulan pedofilia di platform media sosial dengan keahlian sehingga berpuluh-puluh ribu orang serta sudah beroperasi sejak bertahun-tahun lamanya.
"Saya telah mengingatkan Meta bahawa niat kerajaan mengenakan lesen ini adalah untuk menangani isu jenayah yang berhijrah ke media sosial, termasuk scam, judi dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
"Namun saya memberi komitmen untuk mendengar pandangan semua platform media sosial, memandangkan lesen yang bakal dikenakan adalah lesen kelas (Class License).
"Lesen ini dikenakan kepada semua platform yang memenuhi syarat-syarat, termasuk yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna di Malaysia," ujar Fahmi lagi.
Kerajaan tidak berpeluk tubuh
Usaha melindungi pengguna tidak bermakna tanpa tindakan lebih serius melalui undang-undang sedia ada.
Justeru, kerajaan tidak hanya berpeluk tubuh khususnya MCMC yang telah diberi mandat mengawal selia industri komunikasi dan multimedia bagi melindungi rakyat khususnya golongan yang terdedah kepada kemudaratan dalam talian.
Berdasarkan statistik dari 1 Januari 2022 sehingga 1 Ogos 2024, sejumlah 10,423 laman sesawang telah disekat susulan pelanggaran undang-undang.
Daripada jumlah tersebut, 95.7 peratus laman sesawang yang disekat adalah dalam lima kategori utama iaitu perjudian, pornografi, pelanggaran hak cipta, pelaburan haram atau scam, dan pelacuran dalam talian.
Sekatan yang dilakukan adalah mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), serta undang-undang di bawah bidang kuasa agensi-agensi penguatkuasaan yang lain antaranya Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, serta Suruhanjaya Sekuriti.
Dalam konteks yang lebih besar, sekatan kepada laman-laman sesawang turut dapat mengekang jenayah-jenayah lain antaranya pemerdagangan manusia, pengantunan kanak-kanak, penjualan bahan terlarang seperti dadah, serta jenayah terancang yang lain.
Bagaimanapun, usaha tersebut memerlukan pendekatan holistik daripada segenap lapisan masyarakat seluruh negara untuk tidak melangkaui mekanisme perlindungan tersedia yang boleh memberi kesan negatif kepada diri serta keluarga, khususnya remaja dan kanak-kanak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!