Amanah Johor sedia tanding 20 kerusi, tidak tolak BN, PH bertembung

Dzulkefly
Dzulkefly
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Timbalan Pengerusi Amanah negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana Johor di bawah Barisan Nasional (BN) masih belum membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Kami di peringkat kepimpinan Amanah Johor tidak bersetuju dengan kepimpinan BN Johor yang langsung tidak ada kemahuan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri ini walaupun selepas menang dalam PRK Mahkota baru-baru ini.

"Malah, tiada rundingan langsung berkenaan Kerajaan Perpaduan daripada pihak BN setakat ini.

"Oleh itu, kami juga tidak menolak kemungkinan akan berlakunya pertandingan tiga penjuru antara PH, BN dan Perikatan Nasional ( PN) dalam PRN dan PRU yang akan berlaku di negeri ini kelak," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar turut menjelaskan Amanah Johor telah bersedia untuk bertanding pada PRN dan PRU di negeri ini.

"Kami telah menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN di Johor, sama ada kita bersama dengan BN atau bersama dengan gabungan asal Pakatan Harapan (PH).

"Malah, kami telah pun mengenal pasti antara DUN sasaran dalam mencapai objektif selain mengekalkan kerusi yang sedia ada iaitu DUN Simpang Jeram," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

"Ketika mengatur persediaan awal ini, kami sentiasa mengambil kira pandangan serta keputusan kepimpinan tertinggi parti serta PH baik di peringkat negeri mahupun di peringkat pusat," katanya.

Pada PRN Johor 2022, UMNO menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi dengan Bersatu dua, manakala Pas, satu sementara Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi.

Kerajaan Perpaduan diwujudkan di peringkat Persekutuan dan di Pahang, Perak dan Selangor oleh gabungan PH-BN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!