Juruiring kenamaan pukul pemandu e-hailing OKU didakwa hari ini
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang pengawal pengiring kenamaan yang menumbuk muka pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU), pada enam bulan lalu didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
Muhammad Taufik Ismail, 32, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Farah Nabihah Muhammad Dan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 20 hari sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Ong Ing Keong, 47, di hadapan sebuah hotel di sini pada jam 11.40 pagi, 28 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun, atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai pemandu e-hailing telah memandu kenderaan jenis Toyota Vios, di sebuah lobi hotel untuk mengambil penumpang.
Semasa penumpang yang dinantinya masuk ke dalam kenderaan, mangsa melihat beberapa individu termasuk tertuduh menunjukkan isyarat supaya dia beredar.
Malangnya, mangsa yang tidak memahami perkara itu kerana pekak dan bisu, bertindak membuka cermin kenderaannya dan mengangkat tangan untuk bertanya dalam bahasa isyarat.
Secara tiba-tiba, tertuduh menumbuk mangsa di muka, hingga menyebabkan kecederaan di pipi kanan.
Mangsa kemudiannya meninggalkan tempat kejadian dan menghantar penumpangnya ke Segambut, di sini sebelum membuat laporan polis.
Semasa prosiding, peguam, Ashok Athimulan merayu anak guamnya dikenakan hukuman, denda yang minimum dengan alasan, Muhammad Taufik telah insaf dan memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan terhadap mangsa.
Menurutnya, tertuduh yang juga anak sulung, menjaga bapa yang mempunyai penyakit strok dan ibunya, seorang pesakit darah tinggi.
“Dia tidak mempunyai kes jenayah lampau malah memiliki rekod bersih disepanjang tugasnya selama sembilan tahun dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia).
“Hukuman berat boleh menjejaskan kerjaya dan keluarganya, maka saya mohon mahkamah mengenakan denda ringan memandangkan kecederaan mangsa tidak parah dan tiada pendarahan berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan I, Datuk Razali Che Ani mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana kes ini mendapat liputan meluas yang mana ia melibatkan seorang anggota PDRM sehingga mencetuskan kebimbangan awam.
Menurutnya, hukuman yang akan dijatuhkan bakal menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama.
“Mangsa sendiri merupakan seorang OKU, maka tertuduh sepatutnya memberi pembelaan dengan membantu mangsa, bukannya mendatangkan kecederaan,” katanya.
Pada 14 Ogos lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seorang anggota polis pengiring memukul pemandu OKU itu, telah dikenakan tindakan tatatertib, oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman selepas siasatan dijalankan.
Sementara itu, Tunku Mahkota Ismail juga menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh dan mahu tindakan undang-undang diambil demi keadilan untuk mangsa.
END
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!