Gaduh berpanjangan punca Diana Danielle mohon cerai
KUALA LUMPUR - Pergaduhan berpanjangan atau ‘shiqaq’ yang tidak boleh diperbaiki, menjadi punca pelakon, Diana Danielle memohon cerai terhadap suaminya, Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Isnin.
Perkara itu didedahkan peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader sejurus Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan berkenaan pada jam 9.30 pagi.
Menurutnya, Diana, 33, tidak lagi boleh hidup bersama dengan Farid Kamil Zahari, 43, kerana tiada persefahaman.
Beliau berkata, permohonan cerai dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) iaitu kebenaran untuk berpisah dan ia terletak kepada seorang hakim syarie yang akan menentukan.
“Mereka tidak lagi tinggal sebumbung, yang mana Farid telah keluar dari rumah lebih kurang sebulan yang lalu.
“Ini merupakan permohonan cerai buat kali kedua dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes cerai, pada 20 November ini,” katanya.
Katanya, permohonan berkenaan akan diserahkan kepada Farid selaku defendan dan pelakon utama filem ‘Anwar: The Untold Story’ itu perlu hadir pada tarikh berkenaan.
Selain permohonan cerai, peguam syarie ini berkata, anak guamnya turut memfailkan permohonan rujuk semasa tempoh edah pada 9 September.
Katanya, ia ekoran penceraian kali pertama, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, 10 Ogos lalu.
Beliau berkata, permohonan rujuk itu perlu dibuat, sebagai bukti mereka telah berbaik semula sebagai suami isteri.
Sebelum ini, pelakon filem 'Imaginur' itu meminta Farid menghormati permintaannya agar segera berpindah dari kediaman memandangkan mereka bakal bercerai.
Bagaimanapun, Farid yang juga pelakon dan pengarah, menyifatkan kemelut rumah tangga itu sekadar perselisihan faham kecil.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Sebelum ini, Diana dan Farid pernah berhadapan dengan krisis rumah tangga yang berpanjangan sebelum disahkan bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka rujuk semula sebulan kemudian.
Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang berusia sembilan tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!