Temui kereta dan selipar atas jambatan, lelaki dikhuatiri jatuh sungai
BATU PAHAT - Seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Simpang Kanan selepas kenderaan digunakannya ditemui di tepi jalan atas Jambatan Bindu di sini pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, pihaknya menerima laporan polis berhubung perkara berkenaan daripada seorang wanita warga tempatan berusia 50 tahun yang juga merupakan ibu saudaranya sekitar jam 10.09 pagi Ahad,Katanya, berdasarkan laporan, wanita tersebut memaklumkan bahawa salah seorang ahli keluarganya telah melihat kereta yang digunakan anak saudaranya yang berusia 27 tahun di atas jambatan tersebut.
"Pemeriksaan lanjut oleh pengadu bersama ahli keluarga yang lain dalam kereta tersebut telah menemui dokumen serta barangan peribadi termasuk telefon bimbit yang telah ditinggalkan dalam kereta tersebut, termasuk sepasang selipar di luar kereta.
"Laporan polis dibuat setelah usaha pencarian dilakukan gagal menemui mangsa.
"Bertindak atas laporan polis tersebut, operasi dan menyelamat (Op SAR) telah digerakkan bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Batu Pahat di sekitar kawasan berkenaan termasuk turut menggunakan tiga bot Penyelamat, namun masih gagal menemui mangsa sehingga jam 6 petang," katanya.
Tambah Shahrulannuar Mushaddat, pihak polis akan meneruskan siasatan daripada pelbagai aspek yang berkemungkinan selain meneruskan Op SAR di Sungai Simpang Kanan dan kawasan sekitar Jambatan Bindu.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Ikhsaan Husain Mahat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.12 pagi.
Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua jentera Rapid Intervention Motorcycles (RIM) dan satu jentera Perkhidmatan, Penyelamatan, Perawatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi.
"Setibanya ke lokasi didapati seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Bindu berhampiran Jambatan Bindu, Tongkang Pecah,
"Turut serta, Pegawai dari Unit Drone, Penolong Penguasa Bomba Fairuz Helmi Mohd Ali dan Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Yusoff, membantu dalam operasi pencarian dalam radius 1.5 kilometer dari lokasi kejadian, manakala pencarian di sungai dijalankan menggunakan bot aluminium sejauh 5 kilometer.
"Selain itu, Pasukan unit SCUBA yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Hakim turut tiba di lokasi bagi menyokong usaha pencarian, namun Operasi ditangguhkan pada jam 6.20 petang atas nasihat pihak polis yang berada di lokasi dan akan disambung pada keesokan pagi (Isnin) mulai jam 8 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!