[VIDEO] Peguam Muhyiddin mohon pindah kes ke Mahkamah Tinggi
GUA MUSANG – Barisan peguam Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan supaya prosiding pertuduhan mengeluarkan perkataan hasutan membabitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen di sini ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Peguam bela, Amer Hamzah Arshad berkata, pihak pembelaan kepada bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan berkenaan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 1 November lalu.
Perkara berkait permohonan itu turut dimaklumkan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri semasa prosiding sebutan semula kes berkenaan di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Kata Amer Hamzah, permohonan sudah difailkan dan pihaknya masih lagi menunggu tarikh pendengaran daripada Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
“Antara sebab kami memohon kes ini dipindah ke Mahkamah Tinggi kerana terdapat isu seperti Seksyen 3, 4 Akta Hasutan bertentangan dengan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan kerana mempunyai kesan menyekat, menafikan kebebasan bersuara dan hak rakyat Malaysia untuk berkongsi kisah peribadi, menyatakan fakta, rekod sejarah serta mengeluarkan pendapat.
“Kes ini juga akan melibatkan peranan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan dan cara Perdana Menteri dilantik. Isu ini yang akan timbul dalam prosiding nanti,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan lima Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Azlina Rasdi manakala Muhyiddin diwakili enam peguam diketuai Amer Hamzah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Januari tahun hadapan.
Pada prosiding sama, Nik Mohd Tarmizie turut membenarkan pengecualian Muhyiddin daripada hadir pada prosiding sebutan semula tarikh baharu berkenaan.
Amer Hamzah sebelum itu mengemukakan permohonan pengecualian kehadiran Muhyiddin atas alasan jarak jauh dan tidak dibantah barisan pihak pendakwaan.
Pada 27 Ogos lalu, Muhyiddin didakwa berhubung isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) ketika menyampaikan ceramah semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Felda Perasu, 14 Ogos lalu.
Muhyiddin, 77, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut antara jam 10.30 hingga 11.50 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!