[VIDEO] Jalinan pendidikan perkukuh hubungan Malaysia-China
BEIJING - Hubungan persahabatan antara Malaysia dengan China yang terjalin sejak 50 tahun lalu nyata menguntungkan kedua-dua negara bukan sahaja dalam perdagangan tetapi pendidikan.
Penglibatan golongan belia kedua-dua negara dalam bidang pendidikan berjaya mengukuhkan lagi kerjasama Malaysia dan China dalam bidang teknologi serta budaya.
Pertukaran dalam bidang pendidikan ini menggalakkan pemahaman budaya dan mengukuhkan hubungan menerusi perkongsian pengalaman.
Ini diakui sendiri oleh pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Beijing Jiaotong University (BJTU) dalam bidang kejuruteraan ketika ditemu bual oleh delegasi media Malaysia dalam satu lawatan media ke China bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China anjuran Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC).
Bagi Aida Nadhirah Abdullah Harun, 23, setelah lebih setahun berada di Beijing, banyak pengalaman yang diperoleh biarpun pada peringkat awal agak sukar menyesuaikan diri disebabkan perbezaan bahasa dan budaya.
Menurutnya, sepanjang tempoh berada di BJTU, banyak perkara yang dipelajari malah pelajar tempatan juga sering membantu di dalam kelas untuk meningkatkan kefahaman.
Dia yang mengambil jurusan Kejuruteraan Elektrik Dengan Automasi itu mengakui lebih memilih untuk belajar di China berbanding di negara-negara Eropah.
"Saya memilih China kerana teknologi di sini sangat maju, dan ia boleh digunakan untuk pembangunan di Malaysia. Selain itu, budaya Asia di sini lebih dekat dengan kita. Jadi, saya ingin belajar teknologi di sini untuk bawa balik ke Malaysia.
"Nasihat saya jika nak belajar ke China, jangan takut dengan halangan bahasa. Walaupun pada mulanya ada kekangan, lama-kelamaan, kita akan belajar dan menyesuaikan diri. Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru, kerana pengalaman ini sangat berharga," katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.
Seorang lagi pelajar, Kang Hui Lynn, 24, berkata, kelas pengajian di BJTU sangat berstruktur dan profesional kerana pembelajaran dibuat dalam kumpulan kecil sekali gus setiap pelajar mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pensyarah.
Menurut pelajar jurusan Kejuruteraan Awam itu, menyesuaikan diri di negara orang bukanlah perkara mudah namun ia berjaya diadaptasi dengan sokongan rakan-rakan dari Malaysia dan pelajar tempatan di sana.
Dia yang berhasrat untuk menjadi pensyarah apabila pulang ke Malaysia nanti mengakui banyak ilmu berkaitan teknologi kereta api dipelajari yang mampu memberi manfaat terhadap sektor berkenaan di tanah air.
"Bidang Kejuruteraan Rel dan Laluan yang kami pelajari di sini sangat terperinci dan mendalam. Di sini, saya belajar perbezaan antara kod standard Eropah yang digunakan di Malaysia dengan kod standard China, dan pensyarah kami memastikan kami memahami kedua-duanya.
"Kami juga mempunyai muzium yang khusus untuk teknologi rel, jadi kami dapat belajar bukan sahaja dari segi teori tetapi juga memahami aplikasi sebenar teknologi ini. Pengalaman ini sangat bernilai untuk kerjaya saya di masa depan," katanya yang merupakan atlet renang universiti berkenaan.
Hui Lynn turut berhasrat untuk meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di Malaysia bagi membantu perkembangan industri rel di Malaysia sekali gus meningkatkan sistem pengangkutan negara.
Sementara itu, pelajar tahun akhir, Lim Zheng Sheng, 24, berkata, belajar di China merupakan satu pengalaman paling berharga kerana bukan sahaja mendapat ilmu mengenai teknologi tetapi turut berkongsi keunikan budaya negara masing-masing.
"Kami ada banyak aktiviti yang memberi peluang berinteraksi dengan pelajar tempatan. Salah satu pengalaman menarik adalah ketika memperkenalkan durian Musang King kepada mereka. Ramai yang tidak pernah mencuba durian dengan aroma yang kuat, jadi saya kongsikan tentang keunikan durian Malaysia. Saya juga perkenalkan budaya Malaysia yang harmoni dengan pelbagai kaum.
"Belajar di China memberi saya peluang untuk memperkenalkan budaya Malaysia kepada dunia. Walaupun terdapat perbezaan dalam silibus dan penilaian akademik antara Malaysia dan China, para pensyarah di sini mengakui kebolehan kami. Saya rasa pelajar Malaysia cukup kompetitif di China," katanya.
Ketiga-tiga pelajar tersebut merupakan penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda berkembar dengan BJTU menerusi tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Mereka merupakan sebahagian daripada 4,000 pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di negara Tembok Besar itu dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), sementara hampir 40,000 pelajar China menuntut di Malaysia.
Bukan sahaja melakar kejayaan dalam bidang akademik, mereka juga mendapat sokongan mesra daripada pihak universiti serta masyarakat tempatan dalam usaha menyesuaikan diri dengan bahasa, makanan mahupun budaya di China.
Golongan belia ini bakal menjadi jambatan bagi menyambung legasi persahabatan yang terjalin antara Malaysia dan China.
Pengalaman sama turut dilalui kira-kira 20 pelajar China yang belajar dalam jurusan Bahasa Melayu di Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Foreign Studies University (BFSU).
Bukan sahaja memiliki minat mendalam dalam mempelajari bahasa, pelajar ini turut memiliki nama Melayu sebagai salah satu cara mendalami bahasa Melayu.
Mereka merupakan contoh kejayaan hubungan sesama rakyat antara Malaysia dan China dalam bidang pendidikan yang telah berkembang pesat sejak penubuhan hubungan diplomatik rasmi pada tahun 1974.
Hubungan yang semakin berkembang ini memperkukuhkan lagi pemahaman antara rakyat kedua-dua negara sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi yang saling menguntungkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!