Lantik peguam baru, bicara polis langgar pelajar tangguh
IPOH - Prosiding hari pertama perbicaraan seorang pegawai kanan polis di Mahkamah Tinggi Ipoh atas sabitan membunuh pelajar tingkatan lima tahun lalu yang dijadualkan pada Isnin ditangguhkan esok.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membenarkan penangguhan itu selepas mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak melantik peguam baharu dan memohon prosiding hari ini dilapangkan.
Peguam M Athimulan bersama bekas Ketua Polis Perak yang kini Peguam, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman akan mewakili pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) tersebut.
"Memandangkan peguam baharu dilantik, saya membenarkan penangguhan sehari sahaja untuk semakan dokumen. Perbicaraan akan bermula esok (Selasa)," kata Datuk Bhupindar Singh Gucharan.
Menurut Athimulan, pihaknya baru sahaja mengambil alih kes tersebut pada pagi tadi sebelum prosiding perbicaraan bermula.
"Kami telah diberikan 30 kenyataan saksi dan sejumlah dokumen serta dokumen tambahan yang mana ia perlu disemak dan diteliti terlebih dahulu.
"Jadi kami minta agar perbicaraan pada hari ini dilapangkan dan ditangguh esok (Selasa)," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mewakili pihak pendakwaan bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui pada prosiding kes hari ini.
Hadir sama, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid.
Sebelum ini, Mohd Nazri diwakili Peguam Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.
Pada 14 Mei lalu, Mohd Nazri, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Ipoh dan mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu selama 30 hari bermula 4 November hingga 17 Januari tahun depan.
Beliau didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara minimum 30 tahun hingga 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
Pada 5 September lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan jaminan terhadap tertuduh agar dibebaskan sementara menunggu perbicaraan kesnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!