Penduduk Pahang diminta siap sedia hadapi Monsun Timur Laut
KUANTAN - Penduduk Pahang diminta bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula 5 November sehingga Mac tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sepanjang tempoh MTL, Pahang seperti kelazimannya akan dilanda bencana banjir.
“Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga, serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Insya-Allah, kerajaan negeri bersama-sama agensi keselamatan lain sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana ini. Semoga kita semua dilindungi ALLAH SWT daripada sebarang musibah dan malapetaka,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, MTL atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada Selasa.
Dalam tempoh ini, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, semasa fasa awal MTL dari November hingga Disember 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Manakala pada Januari hingga Februari 2025 pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku episod hujan lebat adalah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!