Kuali besar 'terbang' hampir terkena kepala

Norasmariza melihat bumbung dan siling rumahnya yang runtuh akibat kejadian ribut dan hujan lebat pada Ahad.
Norasmariza melihat bumbung dan siling rumahnya yang runtuh akibat kejadian ribut dan hujan lebat pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kuali besar tergantung di dapur diterbangkan angin dalam kejadian ribut dan hujan lebat di Felda Panching Utara, pada petang Ahad.

Mangsa, Wan Salilah Wan Andak, 65, bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri daripada dihempap kuali, sewaktu bumbung rumahnya tercabut dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu.

“Saya sedang di dapur, tiba-tiba angin kuat datang. Bunyi macam meletup.

"Selepas itu, saya nampak kuali tergantung terbang di hadapan, dan nasib baik saya sempat mengelak daripada terkena kepala," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Panching Utara di sini pada Isnin.

Isteri kepada Muhammad Yusop menunjukkan keadaan rumahnya yang rosak di Felda Panching Utara di Kuantan pada Isnin.
Isteri kepada Muhammad Yusop menunjukkan keadaan rumahnya yang rosak di Felda Panching Utara di Kuantan pada Isnin.

Wan Salilah memberitahu, dia sudah membaiki bumbung dengan menggunakan wang simpanan kerana bimbang rumah dimasuki air hujan.

Seorang lagi mangsa, suri rumah, Norasmariza Mustafa, 49, berkata, ribut kuat menyebabkan bumbung tercabut dan siling rumahnya runtuh, sehingga mengancam keselamatan keluarganya.

Menurutnya, insiden tersebut berlaku ketika dia bersiap untuk pulang ke Jengka manakala anak lelakinya, Mohd Khaizan Azhar, 27, berada di dapur.

Artikel Berkaitan:

"Tiba-tiba angin kuat datang dan bumbung serta siling jatuh. Saya terkejut, terus lari ke ruang tamu.

"Anak saya pun berlari ke depan apabila terdengar bunyi objek jatuh dan masa saya keluar, ternampak bumbung rumah tercabut dan angin berpusing kuat di luar,” ceritanya lagi.

Muhammad Yusop
Muhammad Yusop

Senada dengan itu, mekanik, Muhammad Yusop Abu Sudin, 36, turut terkesan apabila rumahnya dihempap pokok rambutan yang tumbang.

Bapa kepada empat anak itu turut menzahirkan rasa kesyukuran kerana anaknya, Amir Rahman, 15, terselamat daripada kejadian terbabit.

”Waktu pokok tumbang, Amir Rahman sedang menonton televisyen di ruang tamu, anak yang kecil ada di bilik, isteri pula tengah masak.

"Selepas bunyi dentuman dua kali itu, saya terus selamatkan semua ahli keluarga termasuk televisyen keluar dari rumah,” katanya yang menganggarkan kerugian setakat ini lebih RM4,000 termasuk kos pendawaian.

Suri rumah, Norsalizai Mohamad, 35, memaklumkan sempat menyelamatkan diri dan membawa anak-anak ke luar rumah setelah mendengar bunyi berdentum akibat bumbung diterbangkan angin kuat.

Mohd Tarmizi (tengah) melihat keadaan rumah Norsalizai yang rosak akibat ribut.
Mohd Tarmizi (tengah) melihat keadaan rumah Norsalizai yang rosak akibat ribut.

”Kali pertama terjadi macam ini, memang terkejut sebab saya hanya bersama anak-anak ketika kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahya berkata, sebanyak 32 buah rumah terkesan akibat hujan lebat disusuli ribut kuat melanda di kawasan dalam kejadian 3 petang, Ahad.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 15 rumah mengalami kerosakan teruk akibat bencana terbabit.

”Kami Pejabat DUN Panching menghulurkan sedikit bantuan dan memotong pokok yang tumbang bagi meringankan beban mangsa.

”Kita harap mangsa semua bersabar dengan ujian ALLAH ini dan minta semua berhati-hati sebab kalau tengok ramalan cuaca ribut sehingga Selasa di kawasan Pantai Timur ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!