Serangan dipercayai berkait rampasan ketum
TUMPAT - Kediaman pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang diserang dengan bom botol di Kampung Perupok di sini awal pagi tadi dipercayai berkaitan operasi ketum.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mat Piah berkata, polis tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan operasi rampasan ketum berhubung kejadian pada jam 2.45 pagi itu.
“Kejadian disedari abang ipar mangsa yang berada di rumah itu yang terdengar bunyi letupan sebelum melihat api di garaj, pada masa sama dia ternampak dua lelaki bermotosikal dalam keadaan kelam kabut. Dia kemudian menghubungi bomba.
“Berkemungkinan kejadian yang berlaku ini ada kaitan dengan tugasannya (pegawai kastam) bagaimanapun siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar serangan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Abdul Rashid Daud.
Beliau berkata, pemeriksaan pihaknya menemui pemetik api dan botol berbau petrol.
“Polis juga akan menyiasat kes rampasan ketum di Pasir Mas baru-baru ini yang dilakukan mangsa.
“Kejadian ini mungkin dilakukan penunggang motosikal yang dilihat oleh abang ipar mangsa dan ketika itu mangsa tidak berada di rumah,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, serangan yang mencetuskan kebakaran itu memusnahkan garaj, dua buah kereta iaitu Mitsubishi Triton dan Toyota Yaris dianggarkan berjumlah RM150,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Rumah pegawai kastam dilempar molotov cocktail
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!