KFL tarik pelaburan RM40 bilion sejak 2022
KULAI – Kulai Fast Lane (KFL) diperkenalkan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) sudah berjaya menarik pelaburan sehingga RM40 bilion sejak 2022.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sehingga 171 peratus sekali gus merupakan pencapaian terbaik di daerah itu setakat ini.
Beliau berkata, menerusi usaha tersebut sebanyak 7,000 peluang pekerjaaan dapat disediakan.
Ujar Mohd Jafni, pihaknya akan terus menggalakkan pelaburan di daerah berkenaan menerusi KFL terutama dalam bidang elektronik dan perkhidmatan.
“Di Kulai sekarang ini kita telah dapat permohonan di tapak indsutri yang baharu melibatkan 161.874 hektar yang baru-baru ini dibeli pihak Eco World Development Group Bhd (EcoWorld).
“Kita juga ada Step 1 dan Step 2 di Kawasan Industri Sedenak. Step 1 di Kawasan Indsutri Sedenak melibatkan kawasan seluas 2938.018 hektar hampir penuh.
“Step 2 pula kini sudah 60 peratus (kawasan) telah dibeli pelabur dan dalam proses pembangunan,” katanya dalam sidang akbar selepas merasmikan Seminar Kulai Fast Lane Pemacu Negara di Hotel Impiana Senai di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Di-Pertua (YDP) MPKu, Mohd Fahmi Salam; Pengarah Productivity Corporation (MPC) Wilayah Selatan, Mohd Azwan Mohd Salleh dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Rosli Md Illias.
KFL merupakan satu inisiatif mesra pelabur dalam usaha meningkatkan kemajuan dan memastikan kemampanan serta kerancakan pertumbuhan produktiviti dan ekonomi khususnya di Johor.
Selain itu KFL juga difahamkan merupakan satu proses pemajuan yang dilaksanakan secara pantas dan tangkas.
Ini bermula daripada kelulusan pelan hingga bangunan siap di tapak hingga seterusnya mendapatkan kebenaran beroperasi menerusi gabungan proses pada peringkat kelulusan pelan, perakuan siap dan pematuhan (CCC) dan lesen pengoperasian.
Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata, terdapat 2023.428 hektar lagi di Kulai yang akan digunakan untuk pembangunan bercampur seperti di Kawasan Industri Sedenak pada masa akan datang.
Katanya, pada masa sama, projek-projek perumahan sedang rancak dibina di daerah Kulai dan syarikat pemaju perumahan Scientex juga diberitakan sudah membeli 161.874 hektar tanah.
“Scientex membeli tanah untuk tujuan komersil dan pembangunan bercampur, begitu juga ada pemaju membeli 404.686 hektar tanah di Kota Tinggi untuk buat pembangunan bercampur,” katanya.
Sementara itu, Mohd Fahmi berkata, pihak MPKu bersama rakan strategik bakal merangka beberapa perancangan melibatkan pelbagai aspek dari segi sosial, ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“MPKu pada hari ini (Isnin), memperkukuhkan jalinan kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan MPC, UTM dan Princeton Digital Group.
“Pelaksanaan kerjasama ini diharap akan memberikan manfaat kepada masyarakat di negeri ini khususnya komuniti di Kulai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!