Pan-gon 'gerun' hadapi JDT
[DIKEMAS KINI] PENGENDALI Ulsan HD, Kim Pan Gon mengakui Johor Darul Ta'zim (JDT) memiliki kelebihan terutamanya bermain di laman sendiri menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur pada Selasa.
Menurut Pan-gon, dia mengetahui dengan cukup baik kekuatan JDT terutama ketika bermain di Stadium Sultan Ibrahim yang akan memberikan masalah kepada pasukan dari Korea Selatan itu.
Malah, persembahan pasukannya dalam tiga aksi terakhir ACLE juga tidak bagus apabila kalah semua perlawanan dan menduduki tempat tercorot Kumpulan A.
"Saya teruja untuk perlawanan esok menentang JDT yang merupakan salah sebuah pasukan yang bagus di Asia Tenggara.
"Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana dapat membentuk pasukan yang kuat bersaing dalam ACLE.
"Kami tidak dapat keputusan yang baik dalam tiga perlawanan terakhir dan ia sangat mengecewakan. Sebab itu bagi kami perlawanan ini sangat penting dan kami bermotivasi supaya dapat melepasi peringkat kumpulan.
"Saya tahu apa yang telah JDT lakukan dalam tiga perlawanan terakhir, ia persembahan yang cukup baik, tetapi kami juga mahu memberikan persembahan dan kemenangan kepada penyokong kami. Saya juga tahu JDT kuat di laman sendiri dan untuk datang ke sini meraih kemenangan bukan mudah," katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan pada Isnin.
Dalam pada itu, Pan-gon turut mengakui pasukannya berdepan masalah kecederaan dan tidak dapat membawa beberapa pemain utama.
"Ia agak mengecewakan, tetapi kami akan mengharungi perlawanan ini dan mahu meraih kemenangan," katanya.
Pan-gon turut melihat JDT bersedia sebaik mungkin untuk menghadapi ACLE termasuk mendapatkan ramai pemain import yang bagus.
"Seperti biasa JDT sentiasa serius dan menggunakan segala kelebihan dengan mendapatkan ramai pemain yang bagus," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!