Tanah runtuh di Pandan Indah: Insiden berulang lagi di tempat sama

Keadaan di lokasi kejadian tebing runtuh di Jalan Maju 1/4 Lembah Maju, Pandan Indah pada Isnin.
Keadaan di lokasi kejadian tebing runtuh di Jalan Maju 1/4 Lembah Maju, Pandan Indah pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Insiden tanah runtuh yang berlaku di Lembah Maju, Pandan Indah pada 12 Oktober lepas berulang lagi apabila sebuah kereta jenis Proton Saga terjatuh ke dalam tebing di lokasi sama kira-kira 3.30 pagi tadi.

Mangsa, Adrian Untam, 44, seorang pemandu e-hailing sepenuh masa berkata, beliau terkejut apabila menerima panggilan telefon dari jirannya yang memaklumkan bahawa keretanya telah terjatuh akibat tanah runtuh itu.

‘’Saya parkir kereta saya selepas balik kerja sekitar 9 malam semalam dan hujan belum mula. Kira-kira jam 3.30 pagi, jiran hubungi saya dan beritahu kereta saya telah jatuh. Saya sangat sedih sebab itulah (kereta) satu-satunya sumber pendapatan saya," katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, seorang penduduk Taman Lembah Maju, Shaik Mohamed Sadiq Ali, 38, berkata, beliau tidak menyangka kejadian tanah runtuh berlaku sekali lagi di lokasi yang sama.

Beliau berkata, insiden tanah runtuh seperti itu tidak pernah berlaku sepanjang 30 tahun beliau tinggal di kawasan itu, tetapi kini bimbang akan keselamatan dirinya dan penduduk lain, terutamanya apabila hujan lebat.

Sebuah kereta jenis Proton Saga yang diparkir di kawasan itu telah terjatuh ke dalam runtuhan tebing.
Sebuah kereta jenis Proton Saga yang diparkir di kawasan itu telah terjatuh ke dalam runtuhan tebing.

"Sekarang, kalau hujan saya memang bimbang dan akan parkir kereta jauh (daripada kawasan tebing dan longkang).

"Saya harap pihak berkaitan lebih peka dengan perkara ini untuk keselamatan penduduk setempat, dan selepas ini pihak berkuasa dapat membuat penghadang konkrit (kekal atau usaha lain yang lebih sesuai) kerana kawasan di situ terbuka (tanpa sebarang penghadang)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Oktober lepas, hujan lebat berterusan telah menyebabkan dua kenderaan hampir jatuh ke dalam longkang selepas tebing sungai di lokasi sama runtuh. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!