KPKM laksana analisis impak peraturan penubuhan LPKNDM - Mohamad Sabu

Mohamad pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama
Mohamad pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang melaksanakan Analisis Impak Peraturan (RIA) bagi cadangan penubuhan Lembaga Perindustrian Nanas, Kelapa dan Durian Malaysia (LPKNDM).

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hasil kajian itu dijangka dikemukakan kepada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada Mac 2025.

"Langkah melaksanakan kajian ini selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2021 - Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan,” katanya menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkaitan penubuhan sebuah lembaga kelapa negara pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai kebergantungan terhadap pengimportan bekalan kelapa dari luar negara serta langkah kementerian dalam mengawal harga barangan keperluan itu, Mohamad berkata, kerajaan akan memastikan bekalan kelapa import tidak melebihi 30 peratus.

"Memang pengeluaran kelapa di Malaysia ini masih di sekitar 70 peratus, ertinya kita perlu mengimport lebih kurang 30 peratus, kebanyakannya sudah tentu dari Indonesia. Kadangkala berlaku lambakan yang menyebabkan harga kelapa tempatan itu menjadi rendah.

"Kerajaan sedang berusaha supaya ketika berlaku lambakan dan sebagainya, harga kelapa tempatan menurun, kita harap kelapa itu tidak dijual dalam bentuk biji, (tetapi) diproses untuk dijadikan santan dan juga produk daripada kelapa itu dapat diperbanyakkan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!