Lelaki jatuh jambatan ditemukan lemas
BATU PAHAT - Seorang lelaki hilang dipercayai terjatuh dari Jambatan Bindu, Tongkang Pecah di sini ditemukan lemas pada Isnin.
Menurut Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Ayub Majid, mayat lelaki berusia 27 tahun itu ditemui berhampiran Jambatan Sengkuang, pada jam 11.05 pagi kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
"Operasi pencarian ditangguhkan pada hari pertama setelah pertimbangan keselamatan oleh pihak polis, dan dilanjutkan keesokan paginya, 4 November 2024 (Isnin).
"Dengan sokongan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pencarian diteruskan menggunakan bot dalam radius tujuh kilometer di sekitar lokasi.
"Akhirnya, ada jam 11.05 pagi, bot APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), telah menemukan mayat lelaki tersebut berhampiran Jambatan Sengkang," katanya.
Mayat mangsa kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Simpang Kanan selepas kenderaan digunakannya ditemui di tepi jalan atas Jambatan Bindu di sini pada Ahad.
Polis menerima laporan berhubung perkara berkenaan daripada seorang wanita warga tempatan berusia 50 tahun yang juga merupakan ibu saudara mangsa.Berdasarkan laporan, wanita tersebut memaklumkan bahawa salah seorang ahli keluarganya telah melihat kereta yang digunakan anak saudaranya yang berusia 27 tahun di atas jambatan tersebut.
Pemeriksaan lanjut dalam kereta tersebut telah menemui dokumen serta barangan peribadi mangsa termasuk telefon bimbit termasuk sepasang selipar di luar kereta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!