KRPPM-IGAR persoal kelewatan pelaksanaan reformasi institusi
KUALA LUMPUR - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) melahirkan kebimbangan terhadap kelewatan serta status kemajuan berkaitan pelaksanaan reformasi institusi termasuk empat cadangan penambahbaikan sistem perundangan.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, satu pelan tindakan khusus dan strategi yang jelas diperlukan untuk merealisasikan sekurang-kurangnya fasa pertama reformasi terlibat.
"Bagi memperkukuh usaha ini, kami mencadangkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) turut diberi peluang memberi penerangan berkenaan perkembangan status reformasi perundangan berkaitan integriti, governans dan anti rasuah yang dikemukakan oleh kumpulan ini.
"Kami turut mengalu-alukan sokongan Menteri atau Timbalan Menteri untuk terlibat sama dalam pembentangan akan datang dan rakan-rakan KRPPM IGAR akan terus bersedia untuk memberikan komitmen dengan input kajian, pandangan serta maklum balas konstruktif," katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Isnin.
Sebelum ini kumpulan itu menuntut empat reformasi institusi melibatkan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwaraya; pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2009; Reformasi Parlimen melalui Akta Perkhidmatan Parlimen dan Penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, KRPPM turut mencadangkan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dijadikan agenda utama dalam penggubalan undang-undang bagi memperkukuh transformasi menyeluruh terhadap akta-akta lain berkaitan integriti, tadbir urus dan anti-rasuah.
Menurutnya, akta tersebut penting untuk membina budaya akauntabiliti, memperkasa rakyat dan memastikan penglibatan berinformasi dalam proses demokrasi negara.
"KRPPM juga tidak melihat garis masa yang jelas berkenaan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Ombudsman yang sebelum ini dijangka dibentangkan pada tahun ini.
"Kita harap ada kesegeraan penambahbaikan yang akan memberi impak signifikan kepada pencegahan ketirisan dan rasuah di Malaysia," ujarnya.
Ahli Parlimen Ledang itu berkata, kumpulan tersebut turut melihat perubahan struktur tambahan amat penting untuk mencapai objektif tadbir urus yang lebih luas.
Sebagai contoh menurutnya, peningkatan pengawasan projek mega wajar diletakkan di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) bagi memastikan peruntukan sumber yang optimum.
"Walaupun terdapat garis panduan melalui pekeliling tatakelola yang disebutkan, reformasi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan penting dalam meningkatkan akauntabiliti aset yang diuruskan kerajaan.
"Justeru kami ingin menyeru semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama merealisasikan reformasi ini dalam semangat komitmen bersama ke arah kemajuan Malaysia yang lebih baik," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!