PRN Sabah: GRS berkeupayaan tanding di 73 kerusi

GRS berupaya untuk bertanding di 73 kerusi DUN Sabah pada PRN17 nanti. Gambar hiasan
GRS berupaya untuk bertanding di 73 kerusi DUN Sabah pada PRN17 nanti. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat mempunyai keupayaan untuk bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kajian di lapangan oleh badan bebas baru-baru ini juga jelas menunjukkan GRS mempunyai potensi untuk menang pada pilihan raya tersebut walaupun dengan jangkaan kemenangan kerusi kurang daripada dua pertiga.

"Umum mengetahui hampir kesemua wakil rakyat dan pimpinan GRS adalah orang lama dalam politik malah mempunyai penyokong tegar masing-masing.

"Mengambil contoh, walaupun Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diasaskan Datuk Seri Hajiji Noor adalah parti baharu tetapi barisan kepimpinan bahagian dalam parti itu adalah orang lama dalam politik dan calon yang boleh menang pada PRN17," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, hasrat Hajiji yang juga Ketua Menteri untuk membuka ruang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya tersebut pula harus dilihat kepada mewujudkan kestabilan politik di Sabah.

"Kerajaan ketika ini sedang rancak membangunkan negeri melalui Program Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) malah masih mengadakan rundingan bagi merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan sudah tentu untuk menjayakan matlamat ini kuncinya adalah kestabilan politik.

"Justeru, tuduhan kononnya Hajiji khuatir kalah pada PRN17 sehingga menyarankan agar GRS bergabung bersama-sama PH dan BN adalah tuduhan jahat dan provokasi yang tidak mempunyai asas kukuh," katanya.

Tambah Zulkarnain lagi, kerajaan Sabah yang ditubuhkan hari ini juga asasnya adalah daripada jasa baik PH yang menentang kudeta menjatuhkan Hajiji pada awal tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, bukan satu perkara yang menghairankan apabila Hajiji mengajak PH bersama-sama bekerjasama di dalam PRN17, kerana kedua gabungan parti ini merupakan gabungan yang membentuk kerajaan negeri ketika ini.

"Misi Hajiji untuk menyatukan GRS, PH dan BN pada PRN17 harus disokong oleh semua pihak malah ini juga sebenarnya adalah hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!