Wan Saiful pertahan jawatan MPT Bersatu

Wan Saiful ketika Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Bangi pada Sabtu lalu. FOTO/ Facebook Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful ketika Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Bangi pada Sabtu lalu. FOTO/ Facebook Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan sekali lagi mempertahankan jawatannya sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi penggal 2024-2027.

Beliau berkata, pihaknya menzahirkan ucapan terima kasih buat perwakilan Bersatu di seluruh negara kerana ia merupakan mandat besar buat dirinya dalam usaha membantu parti memenangi siri pilihan raya akan datang.

Menurutnya, ahli Bersatu yang dipilih perlu memperkukuhkan hubungan antara satu sama lain dan segera merangka strategi atau gerak kerja terbaik bagi meyakinkan rakyat tentang kebolehan memimpin negeri serta negara.

"Kekuatan kita terletak pada kesatuan fikrah dan amal. Jika dapat disuburkan, insya-ALLAH rakyat akan beri kepercayaan untuk memimpin.

"Sekali lagi saya ingatkan, era undi protes sudah tamat kerana rakyat mahu melihat kompetensi dan kemampuan. Jika harapkan undi protes sahaja, kita akan kalah.

"Ahli Bersatu bukan sahaja perlu membawa suara akar umbi, tetapi menjuarai agenda reformasi. Kita mesti lebih vokal menyuarakan polisi alternatif untuk membangunkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Wan Saiful antara 20 MPT dipilih melalui Persidangan Bahagian-bahagian Bersatu yang diadakan serentak di seluruh negara pada Sabtu lalu.

Menerusi persidangan sama, tiga naib presiden rasmi dilantik iaitu ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Artikel Berkaitan:

Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden parti berkenaan manakala Setiausaha Agungnya iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin mengisi jawatan Timbalan Presiden, selepas masing-masing menang tanpa bertanding.

Sementara itu, Wan Saiful berpandangan, ahli Bersatu diminta supaya mengenal pasti kelemahan parti dari segi pengurusan dan perjalanan pemilihan, membentuk barisan pelapis kepimpinan serta menggunakan saluran dalaman untuk menyelesaikan masalah.

"Jangan pula perkara dalaman ditaburkan untuk kegunaan musuh menyerang parti sendiri.

"Kita mesti latih, bentuk barisan pelapis kepimpinan parti dan bakal calon pilihan raya seawal mungkin agar parti bersedia berdepan sebarang kemungkinan pada bila-bila masa.

"Ringkasnya, banyak perkara yang perlu dilakukan. Sekarang masa untuk bekerja," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!