Pemandu teksi melecur kereta hangus terbakar

Teksi dilaporkan terbakar di Jalan Kuala Ketil, Kedah pada Isnin. Foto JBPM
Teksi dilaporkan terbakar di Jalan Kuala Ketil, Kedah pada Isnin. Foto JBPM
A
A
A

BALING - Seorang pemandu teksi melecur setelah kereta dipandunya tiba-tiba terbakar dalam kejadian di Jalan Kuala Ketil, di sini pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.58 pagi berhubung kejadian.

Menurutnya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat.

Keadaan teksi yang hangus terbakar. Foto JBPM
Keadaan teksi yang hangus terbakar. Foto JBPM

"Apabila sampai, komander operasi melaporkan api telah berjaya dipadam oleh Pasukan Bomba Sukarela yang tiba lebih awal.

“Hasil siasatan mendapati kenderaan terbabit hangus terbakar sehingga mencecah 90 peratus bagaimanapun mangsa berjaya keluar dari kenderaan setelah menyedari kebakaran berlaku," katanya.

Mohd Jamil berkata, semasa kejadian, tiada penumpang dalam kereta.

"Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Azmi Mokhtar berkata, akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan melecur di tangan dan muka, telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk rawatan lanjut.

"Berdasarkan temu bual pemandu teksi, mangsa dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Baling.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu ternampak kepulan asap telah keluar dari hadapan kenderaan... dengan segera pemandu berhenti dan bergegas membuka bonet," katanya.

Menurutnya, api telah menyambar bahagian enjin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan melecur di bahagian jari, tangan dan bahagian muka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!