Idzham Ismail pula bercerai, tidak berhasrat rujuk kembali
OKTOBER sudah berakhir, tetapi kes penceraian artis nampaknya masih silih berganti.
Terbaharu, aktor tinggi lampai, Idzham Ismail mengesahkan perkahwinannya dengan bekas isteri, Nur Abilah Shamsudin sudah menemui titik noktah selepas Mahkamah Rendah Syariah Klang mengesahkan penceraian mereka.
Bukan itu sahaja, pemilik nama sebenar Muhammed Idzham Ismail, 36, tidak berhasrat untuk rujuk kembali.
“Ya betul, kami sudah sah bercerai tadi di Mahkamah Rendah Syariah Klang.
"Siapa salah, siapa betul saya akan beritahu di mahkamah sahaja. Biarlah segala butiran sebab penceraian ini saya simpan.
"Hanya yang menghadapi sahaja tahu apa yang buat saya kuat sekarang," katanya.
Tegas pelakon yang mula dikenali menerusi drama Juvana itu, Nur Abilah adalah cinta pertamanya tetapi sebagai suami banyak kesilapan yang dilakukan sehingga tidak dapat mengemudi perkahwinan itu mengikut jalan ALLAH.
"Saya mengaku saya sebagai suami banyak khilaf kerana tak boleh mengetuai perkahwinan ini mengikuat jalan ALLAH. Jadi dengan ini, berakhirlah kisah kami untuk lapan tahun.
"Bismillah dengan nama ALLAH saya menutup kisah cinta kami yang sah," luahnya.
Terdahulu, pelakon Andai Itu Takdirnya itu pernah memuat naik status yang memberi bayangan wujud konflik dalam rumah tangganya.
Susulan itu, ramai menebak perkahwinan yang dibina dengan kru kabin, Nur Abilah sedang bergolak.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada Ogos 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Nur Sofea Inara, 7, serta Muhammad Idrus, 4 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!