Masih ramai tidak tahu Akta Perlindungan pemberi maklumat rasuah wujud

Kempen kesedaran kewujudan Akta 711 adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai bahawa mereka tidak perlu takut untuk mendedahkan kegiatan rasuah. (Gambar kecil: Helmi) Gambar hiasan
Kempen kesedaran kewujudan Akta 711 adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai bahawa mereka tidak perlu takut untuk mendedahkan kegiatan rasuah. (Gambar kecil: Helmi) Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat tentang kewujudan Akta 711 iaitu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai bahawa mereka tidak perlu takut untuk mendedahkan kegiatan rasuah kerana maklumat yang diberi akan dilindungi termasuklah identiti mereka.

"Tindakan anggota polis yang menolak rasuah dan melaporkan kepada SPRM adalah tindakan yang tepat. Ini merujuk kepada kes dua orang warga asing yang cuba memberi suapan RM1,000 kepada anggota polis di Segamat.

"Tanpa mengira sama ada warga asing atau tempatan, apa jua usaha untuk merasuah pihak penguat kuasa undang-undang perlu dibanteras. Apa yang berlaku dalam masyarakat masa kini adalah kedaifan atau kejahilan terhadap undang-undang menangani rasuah menjadi punca rasuah bermaharajalela.

"Jikalau rakyat tempatan sendiri jahil tentangnya apatah lagi warga asing. Justeru, SPRM perlu mengadakan kempen untuk memberikan kesedaran tentang kesalahan memberikan rasuah kepada masyarakat termasuklah kepada warga asing," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, polis menahan dua lelaki warga asing di Kilometer 138.3, Jalan Johor Bahru-Seremban pada Ahad kerana dipercayai memberi rasuah RM1,000 kepada petugas polis.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, mereka cuba memberi rasuah bagi mengelak untuk diambil tindakan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau kebenaran tinggal di Malaysia.

Susulan daripada itu, kedua-dua suspek yang berusia 18 dan 30 tahun telah diserahkan kepada SPRM Daerah Segamat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Helmi memaklumkan, saban hari negara didedahkan dengan pembongkaran perilaku rasuah daripada peringkat atasan hinggalah ke peringkat bawahan.

Namun katanya, kes yang terbongkar selama ini sebenarnya amat kecil jika dibandingkan dengan kegiatan yang masih berselindung.

"Jadi, cadangan MEH untuk mengadakan kempen ini adalah bagi memberi kesedaran tentang kepentingan mendedahkan amalan najis rasuah dalam kalangan penjawat awam khususnya penguat kuasa undang-undang kepada masyarakat.

"SPRM perlu menunjukkan komitmen agar akta ini benar-benar melindungi pemberi maklumat dan sekali gus menghapus stigma bahawa sesiapa yang memberikan maklumat akan terancam dengan laporan mereka.

"SPRM boleh bekerjasama dengan Rasuah Busters dalam menjayakan kempen ini kerana Rasuah Busters mempunyai lebih 500 badan yang bernaung di bawahnya dan boleh menjadi ejen penyebaran maklumat sekali gus rakan strategik kepada kempen ini," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!