JPJ gantung lesen pemandu lori positif dadah
MANJUNG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengenakan tindakan menggantung lesen pemandu lori yang didapati positif dadah dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan sepanjang Oktober lalu di seluruh negara.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, dalam operasi bermula 1 Oktober lalu, seramai 79 daripada 1,713 pemandu yang disaring air kencing positif dadah.
Menurutnya, mereka yang didapati positif itu berusia dalam lingkungan 22 hingga 55 tahun.
"Ini merupakan satu kesalahan yang serius kerana kebanyakan pemandu ini merupakan pemandu lori atau pemandu kenderaan perkhidmatan awam dan JPJ serta agensi-agensi sahabat iaitu AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) dan polis mengambil serius terhadap kesalahan-kesalahan yang dikesan ini.
"Kita akan menunggu hasil ujian yang kedua untuk menentukan tahap ujian saringan kepada pemandu berkenaan. Sekiranya ujian kedua diperoleh dan mereka masih lagi positif dadah... kita JPJ akan mengenakan atau mengambil tindakan iaitu menggantung lesen pemandu-pemandu berkenaan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika hadir meninjau Ops Khas Motosikal 2024 di KM1 Jalan Sitiawan-Manjung di sini pada Isnin.
Muhammad Kifli berkata, tindakan tersebut dibuat sebagai usaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya yang melibatkan kenderaan perdagangan sekali gus memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Sementara itu beliau memaklumkan sepanjang Operasi Khas Kenderaan Perdagangan itu, pihaknya telah memeriksa 526,215 kenderaan perdagangan dan sebanyak 69,379 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
Katanya, pihak JPJ juga telah menyita 551 kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Dalam perkembangan lain, Muhammad Kifli menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan pelekat kenderaan yang tertera logo agensi penguat kuasa seperti JPJ dan polis.
Menurutnya, penggunaan pelekat seperti itu bukan jaminan untuk sesuatu kenderaan tidak diperiksa atau dikenakan tindakan undang-undang.
Selain itu, beliau turut meminta pengguna jalan raya memastikan dokumen berkaitan sentiasa dibawa bersama ketika memandu atau menunggang kenderaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!