Turkiye ketuai lebih 50 negara gesa embargo senjata ke atas Israel
DJIBOUTI CITY - Turkiye mewakili lebih 50 negara mengemukakan surat bersama menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan embargo senjata ke atas Israel.
Kementerian Luar pada Ahad mengesahkan Ankara sudah menghantar surat itu pada Jumaat lalu yang telah ditandatangani oleh 52 negara dan dua pertubuhan yang mendesak sekatan tersebut.
Menteri Luar, Hakan Fidan berkata, negara yang terus mengeksport senjata ke Israel dianggap bersekongkol dengan jenayah kejam rejim Zionis.
“Kita akan terus membuat desakan ini sehingga matlamat tercapai,” katanya di Djibouti.
Wakil Tetap Turkiye ke PBB, Ahmet Yildiz berkata, kekejaman Israel telah mengheret rantau tersebut ke dalam peperangan yang lebih meluas.
Pada bulan lalu, Presiden Recep Tayyip Erdogan turut mengulangi gesaan sama yang disifatkan sebagai ‘jalan penyelesaian paling efektif’ untuk menghentikan kezaliman Zionis.
Sejak beberapa bulan lalu, aliran bekalan senjata dari negara Barat terus meningkat ke Tel Aviv dan Amerika Syarikat (AS), Jerman serta Britain antara dalang yang membekalkan mesin perang kepada Zionis. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!