Jho Low, rakan guna AS$13 juta wang 1MDB berjudi selama 2 hari - Saksi

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa wang sebanyak AS$13 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah digunakan untuk berjudi di kasino Las Vegas Sands LLC di Amerika Syarikat, 12 tahun lepas oleh dua 'pemain'.

Penyiasat penipuan kewangan yang berpangkalan di United Kingdom, Richard Templeman berkata, mereka ialah ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low dan rakannya Eric Tan Kim Loong.

Templeman berkata pada 20 Jun 2012, sebanyak AS$41 juta telah dipindahkan daripada Red Granite Capital, sebuah syarikat milik Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak, kepada sebuah syarikat yang hanya wujud di atas kertas, atau shell company, iaitu Alsen Chance.

Alsen Chance, yang tidak memiliki sebarang perniagaan sah, telah digunakan untuk pengubahan wang haram daripada 1MDB dan SRC International Sdn Bhd sebelum dana itu (AS$41 juta) diagihkan kepada pelbagai pihak termasuk syarikat kasino terbabit.

"Sebanyak AS$13 juta telah dipindahkan kepada Las Vegas Sands LLC iaitu AS$11 juta pada 10 Julai 2012 yang ditandakan bagi PLAYER NO 3454296 dan AS$2 juta pada 11 Julai 2012 yang ditandakan bagi TAN KIM LOONG PLAYER NO 4678710.”

"Penyelidikan menunjukkan bahawa Las Vegas Sands LLC ialah sebuah syarikat kasino dan pusat peranginan manakala pada 23 Julai 2012, sebanyak AS$7.35 juta dan AS$1.3 juta telah dikreditkan ke akaun Alsen Chance daripada Las Vegas Sands LLC.

"Kesemua bayaran ini ditandakan sebagai 'dana yang perlu dibayar oleh Low Taek Jho' dan 'dana yang perlu dibayar oleh Tan Kim Loong'.

"Nampaknya kesemua dana adalah baki bayaran yang dibuat kepada Las Vegas Sands LLC pada 10 dan 11 Julai 2012 yang mewakili dana yang dipindahkan daripada Red Granite Capital kepada Alsen Chance,” kata warga Britian itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pernyataan saksinya, Templeman yang memiliki pengalaman selama 24 tahun dalam siasatan penipuan rumit dan jenayah kewangan berkata Riza turut menerima wang berjuta-juta daripada Good Star Limited, sebuah syarikat milik Jho Low sejak tahun 2011 dan beliau telah mendapat manfaat daripadanya.

Untuk rekod, pada 2009 dan 2011, Good Star menerima AS$700 juta dan AS$330 juta daripada 1MDB.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy Holdings Limited serta 1MDB Energy (Langat) Limited telah memfailkan saman terhadap Riza Shahriz serta dua syarikatnya iaitu Red Granite Pictures Inc dan Red Granite Capital Ltd atas dakwaan menerima dana kira-kira AS$248 juta yang disalah guna untuk kepentingan peribadi termasuk membiayai penerbitan filem serta membeli pelbagai hartanah.

Justeru itu, 1MDB memohon deklarasi bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab menyalahgunakan dana itu dan menuntut agar ia dibayar balik.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 2021, defendan mendakwa telah mendapat pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company bagi menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!