[MEJA BULAT] 20 syor terhadap sistem pendidikan Malaysia
PROGRAM Meja Bulat Diskusi Mencipta Resolusi bertajuk Sistem Pendidikan Malaysia: Selepas 60 tahun, di mana silapnya? membincangkan cabaran serta penambahbaikan sistem pendidikan negara selari dengan transformasi pada hari ini.
Menampilkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang sebagai hos, perbincangan melibatkan tiga panelis iaitu bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Profesor Madya Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Nottingham Malaysia, Dr Tricia Yeoh telah merumuskan 20 syor perlu diambil pendekatan serius oleh kerajaan.
Ia sekali gus dapat membantu sistem pendidikan negara mencapai objektif antaranya mewujudkan sebuah negara berbilang kaum yang bersatu padu, membangunkan generasi muda berilmu dan berkepakaran tinggi serta memperkukuhkan dasar pendidikan negara setanding negara luar.
20 syor yang dikemukakan dalam program itu adalah:
1) Tingkatkan kepercayaan sistem dan dasar pendidikan negara
- Setiap dasar pendidikan yang dirangka perlu ambil kira kekangan dan berdasarkan data kuantitatif.
- Aspek paling penting rakyat perlu percaya dasar pendidikan yang diwujudkan.
2) Dasar pendidikan berasaskan teknologi
- Keperluan memastikan dasar pendidikan berasaskan teknologi digital dapat dilaksanakan seiring dengan fokus memenuhi kelengkapan pembangunan infrastruktur dan kemudahan.
3) Penyelesaian isu kekurangan guru
- Ia perlu diubah mengikut sistem pengambilan guru yang lebih fleksibel dengan kaedah option matching atau padanan pilihan bidang ijazah calon guru kepada bidang pengajaran berkaitan.
4) Menyatupadukan masyarakat berbilang kaum
- Mewujudkan school district dengan sistem kemasukan sekolah berpusat agar integrasi kaum dapat dicapai.
5) Meningkatkan kualiti kebolehpasaran sekolah kebangsaan
- Meningkatkan kualiti kebolehpasaran sekolah kebangsaan penting agar semua ibu bapa dapat menyakini kualiti pendidikan untuk anak-anak.
6) Tidak menukar polisi pendidikan sewenang-wenangnya
- Polisi pendidikan oleh kerajaan dahulu tidak boleh sewenang-wenangnya ditukar selagi ia memberi kesan positif kepada setiap pemegang taruh bidang pendidikan.
7) Meneutralkan pengaruh politik dalam bidang pendidikan
- Wajib meneutralkan pengaruh politik dalam bidang pendidikan secepat mungkin.
- Menteri baharu jangan selalu buat U-turn tentang dasar pendidikan negara.
8) Garis panduan pertukaran guru perlu disemak
- Sekiranya terdapat mana-mana guru tidak selesa ditempatkan di lokasi ditetapkan, lebih ramai lagi guru lain berminat.
9) Sistem pentaksiran berasaskan pembelajaran di sekolah perlu lebih komprehensif
- Jumlah A atau kejayaan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) tinggi belum tentu menentukan kejayaan seseorang pelajar.
- Sistem pentaksiran perlu merangkumi semua aspek kehidupan.
10) Teknologi digital dalam pemerkasaan bahasa pengantar amat penting
- Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan pelajar tidak mencapai tahap sewajarnya.
- Pada era digitalisasi, penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa pengantar tambahan amat penting.
11) Sistem pendidikan perlu seiring perkembangan teknologi digital
- Kaedah pembelajaran secara interaktif, penggunaan aplikasi multimedia dan memanfaatkan teknologi AI perlu diterapkan secara lebih komprehensif.
12) Memantapkan polisi pendidikan negara
- Polisi pendidikan perlu jelas dan stabil untuk melahirkan pelajar yang berjaya.
13) Atasi defisit ibu bapa bukan Melayu terhadap kualiti sistem pendidikan kebangsaan
- Keyakinan terhadap kualiti pendidikan itu adalah paling penting. Sekiranya kita boleh ubah impresi yang diberi, kebanyakan ibu bapa kaum Cina akan menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.
14) Tingkatkan kualiti sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan
- Peningkatan kualiti dapat mengembalikan keyakinan ibu bapa bagi mengurangkan penghantaran anak-anak ke sekolah antarabangsa.
15) Meningkatkan kualiti guru
- Antara yang boleh dipertimbangkan adalah pengambilan yang lebih ketat, latihan guru yang lebih baik dan berterusan serta guru cemerlang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
16) Meringankan beban kerja guru
- Kerajaan perlu memastikan isu-isu berkaitan guru dapat diselesaikan seperti bebanan kerja pentadbiran supaya lebih fokus ke arah mendidik.
17) Mengatasi jurang pendidikan Orang Asli supaya kumpulan ini tidak terus ketinggalan
- Banyak cabaran dilalui oleh anak Orang Asli antaranya infrastruktur, lokasi sekolah yang jauh dan diskriminasi.
- Kerajaan perlu mencari jalan untuk mengatasi masalah ini supaya pendidikan Orang Asli tidak ketinggalan.
18) Kuantiti dan kualiti pengeluaran TVET tidak mencukupi
- Perlu menambah program TVET, menambah baik kurikulum supaya menepati keperluan industri.
- Struktur gaji dan career path juga perlu dikaji semula dan memperkukuh mekanisma kerjasama dengan industri.
19) Meningkatkan budaya membaca
- Di samping memperkasakan pembelajaran seiring dengan teknologi, budaya membaca perlu diperkasakan terlebih dahulu di peringkat pendidikan rendah.
20) Mengolah semula kurikulum dan kokurikulum
- Kurikulum diolah semula agar di peringkat awal ditumpukan kepada pembentukan nilai dan 3M.
- Kokurikulum diolah semula supaya penyertaan menjadi lebih menyeluruh dan membantu dalam membentuk sahsiah diri pelajar, di samping perkembangan fizikal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!