Lelaki Perancis mabuk maki polis dalam sekatan jalan raya ditahan

Lelaki Perancis yang berusia 29 tahun ditahan kerana mengeluarkan kata kesat terhadap polis selain bertindak agresif ketika pemeriksaan dibuat.
Lelaki Perancis yang berusia 29 tahun ditahan kerana mengeluarkan kata kesat terhadap polis selain bertindak agresif ketika pemeriksaan dibuat.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang lelaki warga Perancis ditahan selepas dipercayai memandu ketika di bawah pengaruh alkohol di Bayan Indah, di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada Isnin.

Menurutnya, lelaki tersebut turut mengeluarkan kata kesat dan bertindak agresif ketika pemeriksaan dijalankan.

"Lelaki yang masih bujang itu ditahan dalam sekatan jalan raya yang dijalankan di Bayan Indah, di sini. Sebelum itu, dia yang memandu kereta jenis Honda CRZ diarah berhenti untuk pemeriksaan.

"Ketika pemeriksaan badan dijalankan, lelaki yang bekerja sebagai pelayan sebuah restoran di sebuah pusat beli belah itu bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menolak anggota polis yang memeriksanya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tambah beliau, lelaki itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bayan Lepas untuk siasatan lanjut.

"Ujian yang dijalankan mendapati, dia memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!