Wan Ahmad Fayhsal ucap terima kasih buat jentera, perwakilan
SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menzahirkan ucapan terima kasih buat jentera peribadi dan perwakilan seluruh negara yang memilihnya bagi penggal 2024-2027.
Beliau berkata, Bersatu akan bergerak dengan lebih hebat ke arah menerajui semula Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dengan mandat yang diberikan demi rakyat.
“Ucapan penghargaan juga saya berikan kepada jentera #TeamWAF dan petugas Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu.
“Selain itu, pasukan petugas ibu pejabat dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung untuk musim pemilihan kali ini. Kalian sungguh luar biasa.
“Semoga Bersatu akan terus mekar dan ke hadapan demi maruah agama, bangsa serta tanah air,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Wan Ahmad Fayhsal antara 20 MPT dipilih melalui Persidangan Bahagian-bahagian Bersatu yang diadakan serentak di seluruh negara pada Sabtu lalu.
Menerusi persidangan sama, tiga naib presiden rasmi dilantik iaitu ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden parti berkenaan manakala Setiausaha Agungnya iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin mengisi jawatan Timbalan Presiden, selepas masing-masing menang tanpa bertanding.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!