Kutipan sumbangan penghargaan buat Peguam Negara tidak diteruskan - AGC
SHAH ALAM - Kutipan sumbangan bagi menghargai jasa Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang bakal bersara pada 11 November ini tidak diteruskan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan hasrat Ahmad Terrirudin sendiri agar perkara tersebut tidak diteruskan meskipun tujuannya murni.
“Berkenaan isu kutipan sumbangan daripada timbalan pendakwa raya bagi menghargai jasa peguam negara, jabatan ini ingin menegaskan bahawa walaupun tujuan kutipan sumbangan berniat murni.
“Peguam Negara meminta agar hasrat ini tidak diteruskan,” katanya ringkas menerusi hantaran di X pada Isnin.
Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial dan platform Telegram mengatakan jabatan terbabit diminta memberikan sumbangan wang untuk membeli hadiah sempena persaraan Ahmad Terrirudin tidak lama lagi.
Amaun kutipan sumbangan itu dipecahkan mengikut gred iaitu Turus (RM500); Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A (RM400); B (RM300) dan C (RM200) manakala pangkat terendah, L44 (RM30) serta L41 (RM20).
Difahamkan, acara keraian persaraan itu juga dibuat bagi meraikan Ahmad Terrirudin yang bakal dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, namun butiran lengkap belum diperoleh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!