Sindiket pemerdagangan orang tumpas, enam warga Bangladesh diselamatkan

Enam lelaki warga Bangladesh berjaya diselamatkan apabila pasukan operasi khas JIM menyerbu sebuah premis rumah kedai di Klang Sentral, Selangor pada Ahad.
Foto: JIM
Enam lelaki warga Bangladesh berjaya diselamatkan apabila pasukan operasi khas JIM menyerbu sebuah premis rumah kedai di Klang Sentral, Selangor pada Ahad. Foto: JIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemerdagangan orang dan menyelamatkan enam lelaki warga Bangladesh dalam satu operasi khas di Klang Sentral, Selangor pada Ahad.

JIM dalam satu kenyataan berkata, operasi yang bermula jam 3.54 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Menurutnya, berdasarkan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke sebuah premis rumah kedai dan berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki sebagai 'penjaga premis' berusia lingkungan 30 tahun.

Seorang lelaki warganegara Bangladesh (kanan) yang disyaki sebagai penjaga premis ditahan dan menunjukkan sejumlah pasport yang disimpan, selepas pasukan operasi khas JIM menyerbu sebuah premis rumah kedai di Klang Sentral, Selangor pada Ahad.
Foto: JIM
Seorang lelaki warganegara Bangladesh (kanan) yang disyaki sebagai penjaga premis ditahan dan menunjukkan sejumlah pasport yang disimpan, selepas pasukan operasi khas JIM menyerbu sebuah premis rumah kedai di Klang Sentral, Selangor pada Ahad. Foto: JIM

"Suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini. Hasil pemeriksaan lanjut di premis tersebut, pasukan operasi telah berjaya menyelamatkan enam orang lelaki warga Bangladesh berusia antara 18 hingga 41 tahun.

"Semasa pemeriksaan dijalankan, penjaga premis tersebut cuba untuk melarikan diri melalui tingkap di sebuah bilik dan berlaku sedikit pergelutan namun suspek berjaya ditahan.

"Pasukan operasi turut merampas tujuh pasport Bangladesh dan tujuh telefon bimbit," katanya pada Isnin.

Pihak berkuasa itu berkata, modus operandi sindiket adalah membawa masuk warga Bangladesh yang ingin mencari pekerjaan di negara ini sebagai pelancong dan segala urusan pasport, visa serta tiket penerbangan mangsa diuruskan pihak sindiket.

Artikel Berkaitan:

"Seterusnya mangsa akan dibawa dan ditempatkan di 'rumah transit'. Kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket sebanyak RM15,000 untuk setiap orang dan tambahan RM5,000 seorang untuk membolehkan mangsa keluar dari 'rumah transit' tersebut.

"Penjaga premis ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan ditempatkan di lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor.

"Enam mangsa yang diselamatkan dibawa ke rumah perlindungan di Tanjung Kling, Melaka untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!